
Kekangan dana akibat kekurangan penumpang selain pandemik Covid-19 antara sebab perkhidmatan bas Rapid Kamunting ditamatkan muai 16 Jun 2021.
Rapid Bus Sdn Bhd – anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang mengendalikan perkhidmatan bas Rapid Kamunting, di Perak – hari ini mengumumkan penamatan perkhidmatan berkenaan bermula 16 Jun ini selepas beroperasi lebih lima tahun.
Langkah berkenaan diambil susulan kekangan dana dan permintaan yang rendah bagi perkhidmatan bas di kawasan itu sejak awal perkhidmatannya.
Kenyataan Rapid Bus berkata, perkhidmatan bas itu dimulakan pada Mac 2016 di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kerjasama Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Prasarana.
“Berdasarkan inisiatif berkenaan, Rapid Bus menyediakan perkhidmatan di tiga laluan iaitu Laluan 10 (Taiping Loop), Laluan 20 (Jejak Warisan Loop) dan Laluan 30 (Bukit Jana – Kampung Boyan).
“’Rapid Kamunting diadakan sebagai usaha memangkinkan pertumbuhan ekonomi, kesalinghubungan dan kemudahan rakyat serta penduduk setempat.
“Sokongan dan dana daripada NCIA telah tamat pada Februari 2019. Selepas penamatan pemberian dana dan kontrak tersebut, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri tidak lagi menyatakan minat untuk meneruskan perkhidmatan Rapid Kamunting,” kata Rapid Bus.
Bagaimanapun, Rapid Bus telah meneruskan perkhidmatan atas komitmennya untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam walaupun terus mengalami kerugian.
“Seperti juga syarikat-syarikat pengangkutan awam lain, Rapid Kamunting tidak terkecuali daripada kesan impak Covid-19.
“Ini dapat dilihat melalui kemerosotan jumlah penumpang kepada 30 peratus. Rentetan daripada keadaan yang semakin meruncing tersebut operasi Rapid Kamunting berhadapan dengan cabaran yang getir untuk menampung kos pengoperasian,” katanya.
Rapid Bus juga memohon maaf kepada pelanggan setia Rapid Kamunting di sekitar Taiping dan Kamunting kerana terpaksa menamatkan perkhidmatan.