
Ramai ibu bapa memilih untuk tidak meneruskan persekolahan anak mereka di sekolah swasta kerana faktor kewangan akibat Covid-19.
Pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dan kehidupan di seluruh dunia turut memberikan kesan kepada sekolah-sekolah swasta apabila ramai ibu bapa mula memindahkan anak-anak mereka ke sekolah kerajaan disebabkan punca pendapatan terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Kebanyakan ibu bapa mengambil pendekatan itu selepas pendapatan mereka semakin berkurangan, malahan ada juga yang hilang pekerjaan disebabkan syarikat menutup operasi.
Sekolah turut berdepan kesulitan apabila mendapati terdapat kelompongan dalam trend bayaran yuran pelajar disebabkan masalah kewangan yang dihadapi ibu bapa.
Malah terdapat ibu bapa yang meminta bayaran yuran bulanan ditangguh kerana tidak cukup wang atau sudah tiada pendapatan kerana diberhentikan kerja.
Menurut Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim, pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun memberi kesan kepada sekolah rendah dan menengah agama swasta, khususnya pada aspek pengoperasian apabila institusi kehilangan pelajar dan pengurangan yuran berjangka panjang.
“Pandemik turut mengakibatkan sekolah rendah dan menengah agama swasta terpaksa mengurangkan gaji guru dan pada masa sama, masih perlu memenuhi tuntutan kos operasi yang tinggi untuk meneruskan komitmen sewaan dan utiliti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada sekolah rendah dan menengah agama swasta kerana dua institusi itu tidak menerima bantuan dalam bentuk peruntukan operasi dalam Belanjawan 2021.
Dalam pada itu, pendidikan swasta di Malaysia bermula sejak 1950-an, terutama sebagai laluan kepada pelajar yang tidak dapat meneruskan pengajian di sekolah-sekolah kerajaan bagi memperolehi sijil-sijil asas mereka.
Pada awal 1970-an terdapat anjakan terhadap peranan dan fungsi sistem pendidikan swasta di mana pengusaha pendidikan swasta mula mementingkan kursus-kursus prauniversiti.
Sebelum Covid-19 melanda, sekolah swasta sering mendapat tempat dalam kalangan ibu-bapa yang mahukan pendidikan berkualiti kepada anak-anak mereka dengan menghantar anak ke sekolah swasta berbanding sekolah kerajaan.
Pemilihan sekolah swasta ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina dan Melayu yang mahukan pendidikan berkualiti berbanding dengan sekolah kerajaan.
Konsep sekolah swasta ini menawarkan pendidikan dari peringkat prasekolah, sekolah rendah hinggalah ke peringkat sekolah menengah swasta.
Sekolah ini tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan tetapi perlu mematuhi Kurikulum Kebangsaan.
Sekolah swasta perlu memastikan pelajar mempelajari mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Pengajian Malaysia sebagai subjek tambahan untuk pendidikan lepas menengah mengikut daripada Akta Pendidikan 1996.
Sekolah swasta ini juga perlu didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan dan mempunyai beberapa jenis sekolah seperti sekolah rendah dan menengah swasta, sekolah rendah dan menengah agama swasta, sekolah persendirian Cina dan sekolah antarabangsa.
Kebanyakan sekolah swasta ini mendapat peruntukan daripada institusi luar seperti syarikat swasta untuk menanggung pengurusan dan pembelajaran di sekolah tersebut kerana mereka tidak menerima peruntukan daripada kerajaan.
Sebab itulah sekolah swasta mengenakan yuran kerana unsur keuntungan juga menjadi sebahagian daripada matlamat mereka.
Di samping itu, kebanyakan sekolah swasta mempunyai infrastruktur moden dan terkini seperti bilik darjah, makmal sains, makmal komputer dan pusat sumber. Mereka juga menggunakan hak autonomi seperti kebebasan untuk melantik kakitangan, pengurusan kewangan, silibus dan dasar dalaman bagi menyediakan pendidikan terbaik kepada pelajar mereka.
Walaupun sekolah swasta ini sering dianggap sebagai ‘sekolah untuk anak orang kaya’ oleh segelintir pihak, ia tidak menghalang ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah swasta.
Faktor utama mereka adalah kualiti pendidikan yang lebih baik walaupun terpaksa membayar yuran tinggi. Tetapi tidak semua sekolah swasta mengenakan caj yuran tinggi kerana sekolah swasta aliran agama masih mempunyai caj yuran munasabah dan tidak terlalu tinggi berbanding sekolah swasta konvensional.
Persoalannya, mampukah sekolah swasta di Malaysia terus bertahan dan apakah nasib sekolah tersebut memandangkan persekolahan belum bermula dan rata-rata berkemungkinan dibuka semula pada Mac 2022.