
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama Presiden PAS, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, hari ini (22 Februari 2023).
PASRelief Malaysia menghargai keprihatinan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang akan menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di dua negara terbabit bermula 2 hingga 7 Mac ini.
Misi ini akan diketuai Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Pengarah PASRelief yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Mohd Yusni Mat Piah serta tujuh wakil rakyat PAS dan Bersatu.
Pengerusi PASRelief, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen PN yang telah menghulur sumbangan wang untuk menjayakan misi itu pada satu majlis di bangunan Parlimen tengah hari tadi.
Hadir sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu; Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang; dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ini adalah kumpulan yang kedua dihantar oleh Sekretariat Aid4Turkiye&Syria daripada empat misi setelah kumpulan yang pertama berlepas ke dua negara terbabit pada 22 Februari lalu, katanya dalam kenyataan hari ini (22 Februari 2023).
Misi yang ketiga dan keempat akan menyusul bermula 6 hingga 11 Mac ini manakala yang keempat dijadualkan pada 17 hingga 22 Mac
Sekretariat Aid4Turkiye&Syria dibentuk daripada gabungan 34 pertubuhan bukan kerajaan untuk menguruskan misi bantuan kepada mangsa gempa bumi di dua negara berkenaan bawah naungan PASRelief.
Penghantaran misi ini adalah dengan izin rasmi Kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra.
Semoga ia akan meringankan sedikit beban penanggungan saudara kita di sana atas musibah bencana yang mereka lalui.