PRU musim hujan, banjir: Pembayar cukai kena tambah lagi RM1 bilion

September 26, 2022 · Isu semasa

Pembayar cukai mungkin perlu membayar sehingga RM1 bilion wang tambahan, jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada November atau ketika Monsun Timur Laut – musim tengkujuh dan banjir yang kerap berlaku ketika hujung tahun.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata cuaca buruk adalah faktor yang banyak mempengaruhi saranan SPR mengenai masa terbaik dan terburuk, untuk mengadakan PRU setiap lima tahun sekali.

“Apabila hendak menentukan tarikh pilihan raya, SPR hanya boleh bertindak sebagai entiti penasihat. Kami akan mempertimbangkan faktor seperti ramalan cuaca dan sama ada terdapat sebarang perayaan pada tarikh tersebut.

“Tetapi kerajaan akan memutuskan sama ada tarikh itu boleh dilaksanakan atau tidak. Saya fikir, jika PRU-15 diadakan pada November, tambahan RM1 bilion lagi akan dibelanjakan,” katanya menurut MalayMail.

Ini bermakna bahawa perbelanjaan tambahan sahaja untuk pilihan raya adalah sekitar dua kali ganda daripada kos mengendalikan PRU 2018 secara keseluruhannya.

Abdul Aziz berkata, sebahagian besar daripada tambahan RM1 bilion ini akan dibelanjakan untuk logistik, khususnya bagi mengangkut pengundi ke pusat pembuangan undi masing-masing di kawasan yang dinaiki air.

Ramalan berkenaan akan menjadikan kos mengadakan PRU-15 melebihi kos untuk mengadakan PRU pada penghujung 2020 atau semasa kemuncak pandemik Covid-19, menurut laporan itu.

Sebelum ini, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) memberitahu Parlimen bahawa langkah tambahan dan berjaga-jaga perintah kawalan pergerakan (PKP) bermakna ia akan menelan belanja RM1.2 bilion bagi Malaysia untuk mengadakan PRU.

Semalam, SPR dipetik berkata pilihan raya umum ke-15 boleh membebankan pembayar cukai sehingga RM1.1 bilion dalam apa yang boleh menjadi pilihan raya negara paling mahal setakat ini.

SPR membelanjakan RM400 juta bagi PRU-13 dan RM500 juta untuk PRU-14.

Penambahan kira-kira lima juta pengundi baharu ke dalam daftar pemilih akan menjadi pemacu utama lonjakan kos yang menggandakan perbelanjaan untuk pilihan raya sebelumnya dan apabila peratusan keluar mengundi berada pada rekod tertinggi, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Abdul Aziz menjelaskan hipotesis PRU-15 ketika musim banjir akan menjadi lebih kompleks kerana suruhanjaya itu juga perlu menyelaras dan berhubung dengan entiti tambahan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi mendapatkan bantuan.

“Keadaan sebegitu akan menimbulkan rasa tidak minat pengundi kerana mereka akan mengutamakan kehidupan mereka daripada beberapa acara politik.

“Jadi, jika PRU akan diadakan pada November, orang ramai akan menyalahkan SPR atas keputusan itu,” katanya.

Sebelum ini, UMNO terus mengasak Naib Presidennya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan PRU-15 dengan segera tahun ini, dengan spekulasi bahawa ini mungkin diadakan pada November kerana Bajet 2023 masih belum dibentangkan.

Khabar angin itu diperkuatkan selepas Perdana Menteri mengumumkan pembentangan Bajet 2023 akan dibuat dalam tempoh tiga minggu lebih awal daripada biasa iaitu pada 7 Oktober, dengan khabar angin bahawa Parlimen akan dibubarkan serta-mertaselepas bajet dibentang.

Majoriti dalam kalangan ahli Parlimen termasuk pembangkang dan kerajaan menolak mengadakan PRU-15 tahun ini dengan menjadikan musim tengkujuh dan banjir sebagai alasan.

Tahun lalu, Malaysia mengalami salah satu banjir terburuk dalam sejarah, menyebabkan kerosakan harta benda dianggarkan sehingga RM6.5 bilion dan lebih 71,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Banjir amat teruk berlaku di Selangor, di mana hampir separuh daripada 54 kematian berkaitan banjir, dicatat di negeri itu.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Minyak botol vs minyak peket
July 20, 2022
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024
78 peratus anak muda tidak faham politik
November 5, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok