Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar sedang dipertimbangkan Kementerian Wilayah di beberapa lokaliti sekitar Kuala Lumpur yang menjadi lokasi panas Covid-19, kata
Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pelaksanaan PKP bersasar tersebut ada dibincangkan semasa Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dan tidak menolak terdapat keperluan untuk Kuala Lumpur juga dikenakan perintah tersebut bagi mengekang penularan wabak merbahaya itu.
“Bagi pihak Jawatankuasa Keselamatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kita merasakan perlu lebih berhati-hati, ada beberapa lokaliti tapi kita harap kita juga diletak nanti dalam PKP bersasar.
“Ini bermakna kita akan tengok di mana kawasan dan tempat yang perlu diperketat PKP, kita akan perketatkan,” katanya lapor Bernama selepasselepas Program Prihatin Rakyat Ramadan Putrajaya.
Annuar berkata pihak MKN mengambil langkah untuk meneliti secara mendalam permohonan negeri terbabit dengan mengambil kira kepentingan menyeimbangkan antara kehidupan dan nyawa rakyat.
“Ia satu situasi yang cukup sukar. Saya sebagai ahli MKN Khas COVID-19 hampir setiap hari bermesyuarat dan mendengar nasihat pakar daripada agensi-agensi yang terlibat secara langsung atau kelompok profesional yang mengurus kesihatan sampailah kepada agamawan yang memberi nasihat dari pelbagai sudut bagaimana harus kita tangani COVID-19.
“Jelas tidak ada formula tetap atau cara terbaik yang tertentu untuk mengurus COVID-19 kerana ia sangat unik. Setiap gelombang, setiap fasa kita terpaksa menggunakan kaedah yang berbeza,” katanya.