
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta akan disalurkan kerajaan campuran kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri (PMX) berkata peruntukan tambahan daripada kerajaan kepada SJKT itu bagi membiayai kerja baik pulih kemudahan dan urusan-urusan lain.
Daripada jumlah itu, Anwar, merangkap Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada Sekolah Tamil di bawah kerajaan, manakala baki RM10 juta untuk membantu hal berkaitan perolehan tanah untuk pembinaan SJKT serta urusan berkaitan SJKT yang masih belum selesai.
Anwar mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) petang tadi.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan menteri dan ketua setiausaha kementerian berkaitan supaya segera memulakan projek untuk membaiki dan menyelenggara kemudahan asas di sekolah yang terbabit.
Beliau berkata, keadaan bumbung dan tandas menjadi antara keutamaan untuk dibaiki dan diselenggara pada tahun ini.
“Bagi saya, isu pendidikan adalah isu besar dan sebab itulah kita letakkan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dalam kalangan orang muda serta dinamik untuk angkat mutu pendidikan kita.
“Jadi dalam Belanjawan 2023, kita tambah peruntukan untuk Kementerian Pendidikan (KPM). Kita tambah satu lagi kategori penyelenggaraan baik pulih sekolah merangkumi SJKT, Sekolah Kebangsaan (SK).
“Dulu masa saya di Port Dickson (sebagai Ahli Parlimen), ada tandas di situ tak terurus, ada sekolah semua enam tandas rosak. Justeru, bagaimana nasib anak kita (di sekolah)? Kena fikir, ini adalah anak kita.
“Sebab itu saya kata sudah lulus (peruntukan) dan dalam setiap mesyuarat Kabinet, saya tanya sudah berjalan belum (projek) kerana (peruntukan) duit sudah dapat dilaksanakan.
“Ini termasuk majoriti di Sekolah Tamil. (Ketika di pejabat), saya cari hampir setiap daerah yang ada Sekolah Tamil, perlu dibaik pulih dan saya mula dengan tandas serta bumbung. Nak baik pulih semua cecah berbilion ringgit. Hal ini perlu diberikan tumpuan tahun ini,” katanya.
Antara yang hadir adalah Fadhlina dan Timbalannya, Lim Hui Ying; Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), R Ramanan, yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh; Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran dan bekas Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago.