
Sidang media Annuar Musa semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Seri Puri, Bukit Marak hari ini.
Kempen UMNO Kelantan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos menerima tamparan selepas pemimpin akar umbi di Bahagian Ketereh mengumumkan keluar parti hari ini.
Pengumuman tersebut mengakibatkan Bahagian UMNO Ketereh yang sedang berkempen pada PRN Kelantan hampir lumpuh ekoran langkah keluar parti yang diumumkan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa tadi.
Malah, Ketua Pemuda Ketereh, Afiq Amani yang juga anak kepada Annuar turut serta mengumumkan langkah keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, kedudukan Afiq Amani sama ada menyertai PAS sama seperti bapanya masih belum diketahui.
Selain itu, Ketua Wanita UMNO Ketereh, Sabariah Hamzah turut diumumkan keluar UMNO dan menyokong PN, diikuti pimpinan lain daripada UMNO Ketereh.
Turut hadir semasa majlis pengumuman hari ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut diumumkan pengisytiharan keluar parti oleh seluruh ahli jawatankuasa UMNO cawangan Cabang Tiga Tuan Guru Haji Musa seramai 20 orang.
Beberapa nama tokoh pemimpin UMNO juga turut diumumkan meninggalkan parti, antaranya bekas Datuk Bandar Ipoh, Sirajuddin Salleh, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Mohd Ibrahim Abu Bakar dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk, Nik Mohammad Azli Nik Ariffin.
Untuk rekod, Annuar sebelum ini mengumumkan kemasukkan ke dalam PAS dan kini aktif berkempen membantu jentera PN yang bertanding di seluruh negara.