Bersatu tak pernah dimaklumkan pengeluaran wang RM1 juta, kata saksi

July 18, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumour hari ini diberitahu bahawa pengeluaran wang RM1 juta oleh pihak Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tidak dimaklumkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pegawai Kewangan 1 Bersatu Muhammad Zulhelmi Zaulkafly, 30, yang bertugas di Pejabat Bendahari Bersatu sejak 2016, berkata pihaknya juga tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada Armada berhubung pengeluaran wang itu, lapor Bernama.

Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris pada perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Disoal Mohd Shahrom sama ada saksi itu tahu mengenai pengeluaran wang RM1 juta daripada pihak Armada, Muhammad Zulhelmi menjawab: Tidak tahu.

Muhammad Zulhelmi, yang mengawal selia dan mentadbir serta mengurus hal ehwal kewangan parti, berkata mengikut Fasal 24 Perlembagaan Parti Bersatu, perbelanjaan melebihi RM500,000 perlu mendapat kelulusan majlis tertinggi dan jika terdapat pengeluaran wang, ia perlu direkod bagi memeriksa baki dalam akaun.

Mohd Shahrom: Apa akan terjadi jika ia tidak direkodkan?

Muhammad Zulhelmi: Melanggar peraturan 24 iaitu kita nak mengelakkan berlaku ketirisan kewangan.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, beliau berkata pemegang amanah bagi akaun Armada ialah Syed Saddiq yang ketika itu Ketua Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi (ketika itu Penolong Setiausaha Armada) dan Rafiq Hakim Razali (ketika itu Penolong Bendahari Armada).

Sebelum ini, Rafiq Hakim memberitahu mahkamah bahawa pengeluaran RM1 juta daripada akaun Armada atas arahan Syed Saddiq tidak mengikut prosedur dan ia adalah salah kerana tiada kertas kerja dikemukakan untuk membolehkan wang itu dikeluarkan pada 6 Mac 2020.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Berita berkaitan
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024· Politik
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024· Politik
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024· Politik
Popular
Rakyat Malaysia terbabit kumpulan Al-Shabaab di Somalia kena 15 tahun
September 24, 2021
Dua loji rawatan air dihenti tugas selepas banjir di Baling
July 6, 2022
Tuduhan bodoh kata saya bocor rahsia, MB Kedah cerita apa berlaku
April 2, 2023
Pekerja asing: Indonesia kata Malaysia tak patuh butiran MoU
July 14, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
6 jam lalu · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
6 jam lalu · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok