KPDNHEP serbu dua premis jual minyak masak dalam talian

July 4, 2022 · Isu semasa

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu dua premis di Petaling Jaya dan Puchong, Selangor pada 1 Julai lepas kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan menjalankan aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata serbuan di Petaling Jaya melibatkan sebuah kediaman yang disewa manakala di Puchong adalah rumah kedai yang kedua-duanya dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit untuk dijual secara dalam talian, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata serbuan terhadap premis di Petaling Jaya itu antaranya menemukan 255 kg minyak masak peket 1 kg bersubsidi dan barang runcit lain yang disimpan di dalam premis terbabit sebelum dijual secara dalam talian yang berdasarkan maklumat, ia dijual pada harga RM2.50/kg.

“Hasil pemeriksaan lanjut hanya barang kawalan minyak masak peket 1 kg sahaja ditemukan, dan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada Pengawal Bekalan untuk berurus niaga dengan barang kawalan berjadual itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata premis terbabit diambil tindakan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menjual barang kawalan tanpa lesen dan Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu mana-mana orang tidak boleh berurusan secara borong dan runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4 akta yang sama.

Beliau berkata selain minyak masak, beberapa dokumen perniagaan lain disita untuk siasatan lanjut, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM637.50 manakala seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pembantu dan pekerja premis terbabit telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Dalam pemeriksaan ke atas premis di Puchong pula, beliau berkata pasukan serbuan menjumpai sejumlah minyak masak kemasan botol 1 kg, 2 kg dan 3 kg di dalam premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak premis telah mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang masih sah tempohnya, namun alamat didaftarkan dalam lesen itu berbeza daripada alamat premis yang menyimpan barang-barang kawalan terbabit,” katanya.

Azman berkata seorang wanita tempatan yang mengaku sebagai penyelia premis berkenaan telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sekyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan.

Menurutnya, sejumlah 27 unit minyak masak kemasan botol 1 kg, 2 kg dan 3 kg disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM858.

Azman berkata kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kedua-dua kes berkenaan akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit termasuk maklumat dari mana bekalan minyak masak tersebut diperoleh.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

Azman berkata syarikat juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Ia melibatkan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak masak.

“KPDNHEP ingin memberi amaran keras kepada semua peniaga yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan,” katanya serta menegaskan kementerian tidak akan berkompromi dengan pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan tersebut.

Pada 30 Jun lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikannya mengesan tindakan penjual dalam talian membuat jualan semula terhadap minyak masak bersubsidi satu kilogram pada harga RM27 untuk lima peket sedangkan di pasaran hanya RM12.50 bagi kuantiti yang sama.

Annuar telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada, manakala KPDNHEP akan membuat tindakan susulan bagi memastikan tindakan tegas diambil bagi sesiapa sahaja yang melanggar akta sedia ada.

Berita berkaitan
Barang bernilai rendah diimport kena cukai jualan 10 peratus mulai 1 Jan 2024
December 16, 2023· Isu semasa
Wanita rugi lebih RM100,000 ditipu kekasih dalam talian
July 18, 2023· Isu semasa
Laporan LHDN serbu rumah, Hamzah akan ambil tindakan
June 17, 2023· Isu semasa
Imigresen gempur ‘port’ gay di KL
May 26, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Isu LGBT dalam kalangan agamawan rosakkan imej Islam
September 25, 2022
Tuduhan bodoh kata saya bocor rahsia, MB Kedah cerita apa berlaku
April 2, 2023
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024
Lagi Isu semasa terkini
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
3 jam lalu · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
4 jam lalu · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok