Saksi sahkan carta aliran AS$681 juta wang 1MDB masuk ke akaun Najib

May 17, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa wang diterima bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke akaunnya adalah daripada wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir mengesahkannya ketika Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram merujuk kepada carta aliran dana 1MDB yang menunjukkan sejumlah AS$681 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Azmi kemudian bersetuju dan mengesahkan bahawa wang 1MDB diterima Najib di dalam akaun banknya.

Berdasarkan transaksi fasa ketiga dalam carta aliran berkenaan, 1MDB Global Investments Ltd melalui BSI Bank di Lugano memindahkan dana berjumlah AS$2.721 bilion.

Daripada jumlah itu, Devonshire Funds Ltd menerima AS$646,464,649 melalui lima transaksi dalam tempoh dua hari, iaitu pada 20 dan 21 Mac, 2013.

Pada hari kedua, Devonshire memindahkan AS$430 juta kepada Granton Property Holding Ltd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Eric Tan, iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada hari sama juga, Devonshire memindahkan sejumlah AS$210 juta kepada Tanore Finance Corporation, di mana Tanore memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun Najib antara 31 Mac dan 10 April 2013.

Memetik laporan BH, Azmi yang juga saksi ke-12 pendakwaan berkata beliau juga tidak mengetahui bahawa bekas Perdana Menteri itu menerima wang berkenaan dalam akaun peribadinya.

Menurutnya Najib juga tidak pernah mendedahkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB bahawa beliau menerima wang milik syarikat pelaburan strategik negara itu dalam akaun peribadinya.

Sementara itu, Azmi berkata beliau tidak pernah mendapat teguran daripada Najib selepas melaksanakan setiap arahan Jho Low, yang dipercayainya adalah arahan daripada Najib sendiri.

Begitu juga, Azmi berkata beliau tidak pernah mengesahkan daripada Najib berhubung arahan yang diterimanya daripada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Katanya, dia hanya menurut arahan itu, di mana selepas itu Najib tidak pernah bertanyakan balik kepadanya mengenai apa-apa penyelewengan yang berlaku, malah kontraknya dalam 1MDB disambung.

Saksi itu juga berkata beliau tidak menerima wang daripada transaksi berkenaan.

Dalam pernyataan saksinya sebelum ini, Azmi berkata, beliau diberitahu oleh Jho Low bahawa arahan diberi oleh individu dalam buruan itu adalah mandat daripada Najib, oleh itu dia perlu mengikut saja arahan terbabit.

Azmi berkata, selepas bertemu Jho Low pada kali pertama di pejabat lelaki itu, beliau mendapatkan pengesahan daripada Azlin sama ada arahan Jho Low itu benar dan boleh diterima pakai, dan ia disahkan oleh Azlin.

Sementara itu, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh bersetuju dengan cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa beliau tidak tahu sama ada Najib membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantarnya mengenai tindakan pengurusan 1MDB yang tidak mematuhi arahan Lembaga Pengarah.

Muhammad Shafee mencadangkan kepada Mohd Bakke bahawa saksi itu tidak mengetahui Najib membaca atau tidak SMS itu kerana tiada cara untuk mengesahkannya, yang berbeza dengan aplikasi Whatsapp.

Muhammad Shafee mengemukakan cadangan itu ketika menyoal saksi mengenai kandungan SMS yang dihantarnya kepada Najib.

Mohd Bakke berkata, kandungan SMS itu adalah berhubung dua pembayaran masing-masing berjumlah AS$700 juta dan AS$300 juta oleh 1MDB bagi syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi Ltd.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Mohd Bakke berkata, beliau meletak jawatan sebagai pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB selepas merasakan Najib terbabit dalam salah laku kewangan dan sesuatu tidak kena sedang berlaku di luar pengetahuannya.

Mohd Bakke berkata, ia disebabkan SMS yang menyatakan mengenai kebimbangan berhubung hal ehwal syarikat pelaburan strategik negara itu, tidak mendapat maklum balas daripada Najib.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Popular
Kenali pereka kasut, Jimmy Choo
November 6, 2021
Penulis buku Daim Zainuddin diperintah bayar saman RM1.2 juta
June 6, 2023
Kerajaan ‘u-turn’, adakah menteri tak bincang dengan PMX dalam mesyuarat Kabinet?
June 12, 2023
Empat negeri miskin tegar, 4 negeri ‘orang kaya’
December 1, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok