Pemandu treler mengaku tidak salah sebabkan kematian 5 pelajar USAS

May 17, 2022 · Isu semasa

Pemandu treler yang didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada malam Khamis lalu (12 Mei 2022), hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, atas lima pertuduhan.

Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, membuat pengakuan itu sejurus semua lima pertuduhan terbabit dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memandu treler jenis Volvo bernombor pendaftaran JPL 9925 di jalan raya dengan cara yang setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan, adalah berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian.

Kesalahan itu menyebabkan kematian kepadapelajar USAS iaitu Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Semua lima pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini kira-kira jam 1 pagi pada tengah malam Khamis lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 untuk setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad, manakala tertuduh diwakili peguam, G Ravishankar, memetik laporan BH.

Nur Asmaniza memohon jumlah jaminan tinggi dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kes membabitkan kepentingan awam, serta mendapat liputan media secara meluas, selain memohon lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai melalui perbicaraan.

Terdahulu, Ravishankar membuat bantahan awal apabila pihak pendakwaan membuat lima pertuduhan berbeza bagi kes ini, sekali gus meminta nama kelima-lima mangsa dimasukkan hanya dalam satu kertas pertuduhan.

Ravishankar berkata, ia atas faktor kesalahan, tarikh, masa dan tempat adalah sama yang mana semua lima mangsa itu berada dalam satu kenderaan yang sama ketika kejadian, di mana bilangan pertuduhan yang banyak dilihat kelak akan memberi kesan kepada jumlah wang jaminan dikenakan.

Selain itu, pembelaan turut memohon jaminan rendah atas faktor tertuduh kehilangan pendapatan apabila lesen memandunya digantung, selain mengambil kira isteri tertuduh yang hanya berniaga kecil-kecilan serta menanggung tiga anak berusia antara dua hingga 14 tahun.

Mahkamah menetapkan wang jamin keseluruhan RM20,000 atau RM4,000 bagi setiap daripada lima pertuduhan itu dengan seorang penjamin, selain menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Berita berkaitan
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
8 jam lalu· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
8 jam lalu· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024· Isu semasa
Popular
Cendawan tahi lembu jadi dadah untuk kepuasan berhibur: Polis
April 6, 2021
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Pekerja asing: Indonesia kata Malaysia tak patuh butiran MoU
July 14, 2022
MalaysiaNow tidak dapat diakses pengguna
June 28, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok