Banjir Selangor luar jangka, usaha menyelamat dihalang kenderaan tenggelam: PM

January 20, 2022 · Isu semasa

Bencana banjir besar yang melanda negara khususnya di Selangor adalah luar jangkaan kerana pada mulanya persediaan menghadapi bencana lebih tertumpu di Pantai Timur, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata bagaimanapun mengakui terdapat kelemahan dalam agensi menguruskan bencana yang tidak mengendahkan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebanyak enam kali berhubung hujan lebat berterusan, bermula 18 Disember tahun lalu.

Perkara itu berlaku kerana pihak berkenaan mengandaikan hanya negeri di Pantai Timur Semenanjung saja akan terjejas akibat banjir yang dibawa hujan lebat berterusan akibat luruan Monsun Timur Laut.

“Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku ini adalah di luar jangkaan banyak pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan berhubung Bantuan Bencana Banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata usaha menyelamat mangsa banjir luar biasa yang melanda Selangor juga berdepan cabaran dan kekangan apabila ia berlaku tanpa diduga sebegitu besar.

Jelasnya, kekangan itu antara lain meliputi faktor keengganan mangsa banjir untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dikatakan jauh dari kediaman mereka dan khuatir rumah dimasuki pencuri.

Selain itu, katanya, mangsa banjir memaklumkan petugas misi penyelamat yang bergegas ke kawasan dinaiki air bahawa mereka ingin menyelamatkan harta benda masing-masing pada malam pertama bencana berkenaan melanda Selangor.

“Berikutan itu, bila paras air naik mendadak, mereka terperangkap dan perlukan pertolongan segera, tetapi kerja menyelamat menjadi sukar kerana banyak kenderaan yang tenggelam menghalang jalan.

“Justeru, petugas penyelamat sukar untuk masuk ke kawasan perumahan (dinaiki air) sehingga ada aset yang terpaksa dipikul,” katanya lagi.

Beliau berkata pada tempoh sama, terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir malah ada negeri yang dilanda banjir pada skala yang lebih buruk seperti Pahang.

Namun katanya disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah adalah teratur dan bersedia, bencana ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran.

Ismail Sabri berkata arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara jelas menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat.

“Dari segi Perintah dan Kawalan, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dikendalikan oleh Ketua Polis Daerah dan Pegawai Bomba Daerah masing-masing bertindak sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana manakala Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) perlu dibuka oleh urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat yang berkaitan,” katanya.

Ismail Sabri berkata banjir di Selangor pada 18 Dis lepas berlaku akibat jumlah purata taburan hujan luar biasa menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan dan kejadian air pasang pula menyebabkan banjir itu lebih buruk.

“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam kabut berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar.

“Malah pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa-mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan,” katanya.

Berita berkaitan
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024· Politik
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024· Politik
Anwar patut jawab kejatuhan ringgit bukan orang lain, kata Ahli Parlimen
March 5, 2024· Politik
Popular
Empat negeri miskin tegar, 4 negeri ‘orang kaya’
December 1, 2021
Kerajaan ‘u-turn’, adakah menteri tak bincang dengan PMX dalam mesyuarat Kabinet?
June 12, 2023
Kerajaan perlu masa selesai kes pencen hakim menerusi proses mediasi
March 21, 2022
SC sahkan syarikat diketuai orang kuat Anwar disiasat: Laporan
January 21, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok