Gaji, elaun Zahid masa jadi TPM berjumlah RM44,383.15: Saksi

October 22, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu gaji dan elaun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri antara 2016 sehingga Mei 2018 berjumlah RM44,383.15 sebulan.

Timbalan Setiausaha Bahagian (Perlembagaan), Seksyen Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen, Sheeba Kunhimon, 48, berkata, gred gaji Zahid adalah sebanyak RM18,168.15 manakala elaunnya ialah RM26,215 sebulan yang diterima sejak 26 Julai 2018 sehingga 9 Mei 2018.

Sheeba yang merupakan saksi pendakwaan kelima ketika membaca keterangan bertulisnya turut memberitahu gaji dan elaun diterima Zahid sejak mula menjadi Timbalan Menteri Persekutuan pada tahun 2004 sehingga terakhir sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada Mei 2018.

“Semasa memegang jawatan itu pada 2015 hingga 2018, Zahid menerima RM18,168.15 sebulan manakala elaun RM26,215.

“Sebagai Menteri Persekutuan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri) antara 2008 dan 2015 adalah RM14,907.20 manakala elaun yang diperoleh sebanyak RM24,320,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh TPR Zander Lim Wai Keong.

Ketika disoal Lim mengenai sumber gaji yang diterima oleh Zahid, Sheeba turut memberitahu agensi yang membayar gaji dan elaun Zahid ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Lim: Boleh tak beritahu siapa atau agensi mana yang membayar gaji dan elaun kepada Datuk Seri?

Sheeba: KDN

Lim: Dana yang digunakan KDN untuk membayar gaji dan elaun Datuk Seri adalah daripada mana?

Sheeba: Kerajaan Malaysia.

Sementara itu, bekas perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi arahan kepada Zahid supaya melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai pengendali tunggal sistem Visa Luar Negara (VLN) ke Malaysia di China.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Suriani Ahmad berkata, ia berdasarkan catatan minit oleh Najib pada surat bertarikh 23 Mei 2013 yang dihantar kepada Zahid  yang menyatakan ‘projek ini perlu diteruskan’, lapor Bernama.

Semasa disoal di Mahkamah Tinggi hari ini, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu bertanya mengenai siapa yang memberi arahan itu berdasarkan catatan minit tersebut dan Suriani berkata: “Arahan Perdana Menteri.”

Ketika dirujuk kepada minit lain bertarikh 20 Januari 2014 pada surat berkenaan oleh peguam itu,  Suriani berkata:  “Minit itu menyatakan ‘YB Datuk Sri Zahid, Sila Bantu Dalam Hal ini. Kontrak ini perlu diteruskan’

Hamidi: Ia ayat  perdana menteri kepada timbalan perdana menteri?

Suriani: Betul

Suriani turut bersetuju dengan Hamidi bahawa beliau juga akan melaksanakan arahan sekiranya diarah oleh ketuanya, Tan Sri Alwi Ibrahim yang merupakan Ketua Setiausaha KDN ketika itu.

Sebelum ini, saksi pendakwaan kedua Azman Azra Abdul Rahman @ Md Salleh iaitu bekas Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN memberitahu mahkamah bahawa UKSB ada menghantar beberapa surat kepada Najib bagi memohon pertimbangannya untuk mengekalkan syarikat tersebut sebagai pengendali tunggal pengurusan visa ke Malaysia di China.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Gan Peng Kun semasa pemeriksaan semula mengenai catatan minit yang diterima KDN daripada Zahid berhubung tempoh lanjutan kontrak VLN, saksi pendakwaan keempat itu menjelaskan ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

“Pendirian kementerian adalah sekiranya bersetuju untuk buat lanjutan itu, ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana kontrak masih berjalan dan ada banyak masa lagi sebelum ia tamat. Sebab itu saya rasa perlu ada masa dan ruang untuk buat penilaian terlebih dahulu.

“Kontrak belum tamat lagi. Ada tiga tahun. Satu jangka masa yang panjang. Sepatutnya tiga tahun lagi diberi masa membuat penilaian (pelanjutan kontrak). Itu pendirian kementerian,” katanya.

Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 20 Disember depan.

Berita berkaitan
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024· Politik
DAP semakin berani disebabkan UMNO hanya ‘penumpang’ dalam kerajaan
February 13, 2024· Politik
Popular
Helikopter terhempas di Bidor, juruterbang terbunuh: Polis
September 12, 2022
Letak jawatan jika tak sebulu dengan kerajaan, kata Hadi Awang
May 10, 2021
Hampir 16,000 anggota agensi bencana siap sedia di Selangor
September 28, 2022
Rakyat tertekan berdepan peningkatan kos sara hidup
July 3, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok