Rosmah gagal batal kes rasuah, gugur Sri Ram

September 24, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah RM1.25 bilion terhadapnya, membabitkan projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, pelantikan Sri Ram mengikut Seksyen 376, 377, 378 dan 379 Kanun Prosedur Jenayah pada Ogos 2018 oleh peguam negara ketika itu, Tommy Thomas, adalah sah.

“Melihat segala peruntukan secara holistik, saya dapati pelantikan itu sah,” katanya.

Mohamed Zaini turut menerima hujah alternatif pihak pendakwaan bahawa surat pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Harun, yang dikeluarkan pada 21 Mei tahun ini dapat memperbaiki sebarang kecacatan dalam tindakan Thomas.

Katanya, ini kerana Seksyen 50 (b) Akta Tafsiran 1948/1967 memberi kuasa kepada mana-mana pihak untuk membuat pelantikan secara retrospektif.

Rosmah, 69, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.

Pada 18 Februari lalu, Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah membela diri, atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, terhadap isteri bekas perdana menteri itu.

Pada 15 November 2018, Rosmah, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lalu.

Semalam, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 November depan untuk keputusan rayuan Najib dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan dalam perbicaraan kes mereka.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Yaacob Md Sam menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan peguam Harvinderjit Singh bertindak bagi pihak Muhammad Shafee selaku perayu dalam prosiding itu yang dijalankan secara maya melalui aplikasi Zoom.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan, Peguam Negara dan Sri Ram sebagai responden.

“Keputusan bagi kedua-dua rayuan ini, kami memutuskan untuk menangguhkan keputusan bagi membolehkan kami membaca semula hujahan pihak-pihak dan kes yang dirujuk di hadapan kami.

“Kami akan menyampaikan keputusan pada 8 Nov, pukul 9.30 pagi,” kata Hakim Yaacob yang bersidang bersama Hakim Datuk Lee Heng Cheong dan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Berita berkaitan
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
6 jam lalu· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
6 jam lalu· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Popular
Rakyat Malaysia terbabit kumpulan Al-Shabaab di Somalia kena 15 tahun
September 24, 2021
Dua loji rawatan air dihenti tugas selepas banjir di Baling
July 6, 2022
Tuduhan bodoh kata saya bocor rahsia, MB Kedah cerita apa berlaku
April 2, 2023
Pekerja asing: Indonesia kata Malaysia tak patuh butiran MoU
July 14, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok