
Gambar kenangan indah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Keputusan mahkamah dalam membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan kes rasuah juga disokong Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution yang diketahui umum mempunyai hubungan akrab dengan Zahid berkata keputusan mahkamah membebaskan Zahid adalah selepas melalui proses yang wajar, malah membandingkan keputusan dibuat melibatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Untuk rekod, Muhyiddin sebelum ini dibebaskan Mahkamah Tinggi tanpa diperintah untuk membela diri seperti dihadapi oleh Zahid yang sudah diputuskan mempunyai prima facie dalam kes rasuah dihadapinya.
“Keputusan dibuat mahkamah, due process. Seperti beberapa minggu lepas, mahkamah juga bebaskan Presiden Bersatu Muhyiddin.
“Jadi, kalau hari ini mahkamah buat keputusan yang sama, maka itulah keputusan mahkamah.
“Saya tak mau buat andaian lebih daripada itu, jauh daripada nak menjangkakan kesan keputusan mahkamah kepada keputusan pilihan raya,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Saifuddin Nasution terdahulumerasmikan Baitul Mahabbah, Jabatan Imigresen Malaysia di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) KLIA di Nilai, Negeri Sembilan hari ini.
Terdahulu, Zahid dilepaskan daripada kesemua 47 pertuduhan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
“Mahkamah ini membuat keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan. Sebelum saya tangguhkan, saya ingin menyatakan di sini bahawa, apa sekalipun kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman dibuat, tidak boleh dipersoalkan.
“Andainya pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat bahawa mereka tidak akan meneruskan pendakwaan, bahawa banyak masa kehakiman yang barharga akan terbuang di samping membazirkan banyak wang pembayar cukai, dan dengan ini, mahkamah ditangguhkan,” katanya dipetik laporan media.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu boleh membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018. Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau yang juga Presiden UMNO, turut berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.