
Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan menerima tawaran jawatan Speaker Dewan Negara.
Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendedahkan terdapat panggilan daripada pemimpin tertinggi negara menghubunginya dan bertanya sama ada bersedia untuk kembali berkhidmat kepada negara.
Wan Junaidi, 78, berkata, sebagai rakyat yang cintakan negara, sukar baginya untuk menolak tawaran itu kerana ia satu amanah dan tanggungjawab kepada negara.
“Selepas menolak untuk dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), memang saya bertekad untuk bersara sepenuhnya.
“Saya ikhlas untuk berundur dari politik tanpa desakan mana-mana pihak kerana saya mahu menikmati tempoh persaraan.
“Tetapi, apabila menerima panggilan daripada pimpinan kerajaan yang mahukan saya mengisi jawatan itu, saya berfikir seketika dan akhirnya bersetuju untuk berkhidmat semula, demi negara, bukannya sebab kepentingan peribadi,” katanya dipetik laporan BH.
Wan Junaidi menggantikan Tan Sri Rais Yatim, yang dilantik sebagai Speaker Dewan Negara sejak 18 Jun 2020 dan tamat perkhidmatan pada 16 Jun lalu.
Enggan mendedahkan pemimpin yang menghubunginya berhubung perkara itu, Wan Junaidi berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab itu, berbekalkan pengalaman luasnya termasuk sebagai pegawai kanan polis, peguam, wakil rakyat, Menteri dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
“Selepas menerima tawaran itu, saya berhubung dengan pimpinan parti (Gabungan Parti Sarawak) di Kuching memaklumkan perkara itu dan mereka mengalu-alukannya.
“Esok, hari pertama persidangan Dewan Negara dan kini, saya berada di Kuala Lumpur…tengoklah esok macam mana,” katanya dengan nada ceria.
Wan Junaidi menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar mulai 1990 hingga 2004 sebelum bertukar ke kawasan Santubong sehingga bersara tahun lalu.