
Anwar bersama anak muridnya, Zahid Hamidi.
Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada kerajaan campuran agar tidak masuk campur dalam kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dr Mahathir berkata tidak menolak akan ada pengaruh lain cuba menyelamatkan Zahid daripada dihukum kes mahkamahnya selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, malah sepatutnya melepaskan jawatannya.
“Dia ada 47 pertuduhan terhadapnya… dia minta nak jadi timbalan kononnya sebagai timbalan perdana menteri dia tidak akan dihukum.
“Saya harap dia akan dihadapkan ke mahkamah dan tidak ada pengaruh lain yang cuba menyelamatkan dia,” katanya dipetik laporan media.
Pada PRN 2023, UMNO hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya.
PRN pada 12 Ogos menyaksikan UMNO diberi tamparan hebat oleh sebahagian besar pengundi Melayu di kubu kuatnya, manakala Perikatan Nasional (PN) terus meraih kejayaan cemerlang termasuk di negeri-negeri yang dipegang Pakatan Harapan (PH).
Daripada enam negeri yang mengadakan PRN, Negeri Sembilan adalah satu-satunya negeri yang UMNO berjaya menang di sebahagian besar kerusi yang ditandinginya.
Di Terengganu dan Kedah pula, parti itu ditendang keluar oleh pengundi walaupun melakukan kempen besar-besaran oleh pemimpin tertinggi parti.
Dr Mahathir berkata UMNO, parti yang diterajuinya selama 22 tahun sebelum bersara daripada politik, semakin merudum berikutan ada pemimpin yang tidak mengutamakan perjuangannya.
“Dulu dapat majoriti yang kuat dapat diri kerajaan yang kukuh sekarang ini dipandang hina oleh ahli-ahli mereka sendiri.
“Siapa yang tak bersetuju dengan pemimpin disingkir, itu lah UMNO sekarang ini.
“Ini bukan UMNO yang ditubuhkan, ini UMNO yang kena ‘hijack’ oleh orang yang mempunyai perjuangan yang berlainan,” katanya.