
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Walaupun UMNO sudah meletak syarat kepada Perdana Menteri Ismail (PM) Sabri Yaakob supaya tidak menyambung memorandum persefahaman (MoU), bagaimanapun Pakatan Harapan (PH) sebaliknya berpendirian ia masih boleh disambung lagi.
PH sedia menimbang untuk menyambung MoU dengan kerajaan dipimpin UMNO yang akan berakhir 31 Julai nanti dengan syarat Rang Undang-undang Antilompat Parti diluluskan di Dewan Rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
“Selepas undang-undang Antilompat Parti lulus (di Parlimen), selagi Perdana Menteri mahu berbincang dengan kita, kita bersikap terbuka.
“Tetapi undang-undang antilompat parti perlu diluluskan sebelum ada ruang untuk perbincangan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Kenyataan Loke itu secara tidak langsung dilihat PH sangat bimbang sekiranya MoU tidak disambung berkemungkinan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) bakal disegerakan.
Pada 14 April lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH yang berakhir 31 Julai ini, tidak diteruskan lagi.
Selain itu, UMNO juga mengumumkan Ismail Sabri sebagai calon PM mereka sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-15 nanti.
Keputusan tersebut sekaligus menghangatkan lagi spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-15 lebih awal.
Untuk rekod, MoU antara PH dengan kerajaan dimerterai pada 13 September 2021 bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
MoU itu antaranya merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.