
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Perkataan ‘kafir’, ‘zionis’ dan ‘yahudi’ dilarang digunakan mana-mana Ahli Parlimen (MP) semasa berbahas dalam Dewan Rakyat, kata Tan Sri Johari Abdul.
Ketetapan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat untuk mengelakkan tindakan label-melabel dibuat mana-mana MP sepanjang perbahasan berlangsung di Parlimen sehingga mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian.
Tegasnya, semua wakil rakyat perlu menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan Dewan Rakyat sebagai medan politik kumpulan atau individu, selain menunjukkan kelakuan terpuji semasa mengetengahkan isu.
Justeru, beliau tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan dimaksudkan itu dibangkitkan lagi pada masa hadapan.
“Saya menyeru semua menghentikan isu dan penyataan ‘kafir’, ‘zionis’, ‘yahudi’ dan lain-lain perkataan sama maksudnya antara ahli Yang Berhormat yang mengeruhkan suasana serta menyentuh sensitiviti keharmonian, apatah lagi ketika ini suasana sangat tidak kondusif.
“Pada hari ini, saya mengajak ahli Yang Berhormat membuka lembaran baharu.
“Padamkanlah isu panas yang berlaku pada minggu lalu. Biarkanlah perbahasan ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar sana,” katanya hari ini.
Sementara itu, Johari dalam pemahsyurannya turut membangkitkan beberapa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang melarang mana-mana MP menggunakan perkataan atau penyataan yang tidak bersesuaian.
Antaranya, Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) mengenai penggunaan perkataan menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuhan antara kaum di Malaysia.
Peraturan 23(1)(i) menyatakan suatu kenyataan tidak boleh dikeluarkan berkenaan betul atau tidaknya penerangan dalam akhbar atau dikeluarkan seseorang bagi dirinya sendiri.
Peraturan 36(9) menyatakan apa-apa perbahasan tidak boleh disebutkan kelakuan atau sifat sesiapa MP atau pegawai kerajaan, selain daripada kelakuan ketika menjalankan urusan sebagai MP atau pegawai kerajaan.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan MP supaya tidak membangkitkan isu peribadi yang dibangkitkan atau dilaporkan di luar Dewan Rakyat.
“Saya memberi peringatan kepada ahli Yang Berhormat bahawa isu peribadi yang dibangkitkan dan dilaporkan di luar Dewan (Rakyat), hendaklah jangan dibawa dan diungkit di dalam Dewan.
“Isu peribadi yang dibangkitkan atau dilaporkan di luar Dewan (Rakyat), hendaklah diselesaikan di luar Dewan,” katanya.