
Datuk Seri Jalaluddin Alias.
UMNO-Barisan Nasional (BN) berharap mendapat lebih banyak jawatan Exco kerajaan negeri Sembilan, kata Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan itu menyuarakan cadangan tersebut selepas tidak diberikan jawatan Menteri Besar yang menjadi milik wakil Pakatan Harapan (PH).
“Ia (pelantikan jawatan EXCO) berdasarkan kepada jumlah kerusi (Dewan Undangan Negeri) yang dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
“Apapun, keputusan akhirnya diperoleh selepas saya mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun,” katanya dipetik laporan BH.
Jalaluddin yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, nama-nama yang akan diserahkan kepada Menteri Besar untuk dilantik sebagai Exco terdiri gabungan muka lama dan baharu.
“Setakat ini saya belum dipanggil Aminuddin berhubung pelantikan jawatan Exco kerajaan negeri.
“Saya tidak pasti bila perbincangan itu akan diadakan, namun percaya ia akan dilakukan dalam minggu ini juga.
“Tiada tempoh ditetapkan bagi perlantikan Exco, namun bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri saya fikir dalam minggu ini juga (Exco) akan dilantik,” katanya.
Pada PRN lalu, BN menang 14 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Calon Perikatan Nasional (PN) pula mencipta kejutan apabila menang di lima kerusi DUN.