
Bas Madani di Kedah.
Walaupun tanpa tajaan bas untuk berkempen, namun sokongan rakyat Kedah masih kuat kepada Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pengarah Pilihan Raya PN membandingkan bas Madani yang ditaja kerajaan campuran di Kedah sama seperti bas sarkis apabila ia digunakan ahli politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO untuk berkempen sekitar negeri tersebut menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tak lama lagi.
“Tuan-tuan balik tengok balik video depa punya himpunan dengan kita punya. Perhimpunan mana yang lebih ramai.
“Tuan-tuan sekalian himpunan kita orang mari atas dasar ikhlas, Ikhlas hati. Tak ada bas sarkis tak ada bumbung, tak ada. Tuan-tuan nampak tak ahli sarkis duduk atas tu? Lambai-lambai tangan, Nampak dak? Orang meluat tuan-tuan. Orang tak boleh terima puak ini.
“Depa buat perbandingan bas itu dengan bas sarkis, betul-betul bas sarkis. Saya kasihan juga tengok naik itu tua-tua semua dah nak buat nak tunging buyung pun tak boleh dah,” katanya semasa Himpunan Jentera Pilihan Raya di Padang Awam Guar Chempedak malam tadi.
Menteri Besar Kedah itu berkata himpunan yang diadakan tidak menawarkan imbuhan dan saguhati seperti dibuat oleh parti kerajaan campuran sebelum ini.
“Kita dapat adakan majlis pelancaran jentera Perikatan Nasional, Kedah tanpa bayaran minyak motor lima puluh ringgit. tanpa T-shirt percuma tanpa jamuan makanan bungkus percuma tanpa artis nombor satu lelaki dan nombor satu wanita,” katanya lagi.
Dianggarkan seramai 50 ribu lebih orang ramai menghadiri program yang dianjurkan PN Kedah malam tadi.
Untuk rekod, kerajaan campuran sebelum ini mengadakan Himpunan Madani di Kedah dengan pelbagai program dianjurkan.
Bagaimanapun, program Himpunan Madani tersebut tidak mendapat sambutan dan hanya dihadiri sekitar 4,000 lebih hadirin.
Program Himpunan Madani yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga menyajikan cabutan bertuah motosikal dan pelbagai hadiah lain, selain menampilkan persembahan artis terkenal Siti Nurhaliza.