
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis berhubung satu hantaran dalam aplikasi TikTok yang didakwa mengandungi tuduhan palsu semasa majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata hantaran dimuat naik melalui aplikasi TikTok atas nama pemilik akaun @wancin11 itu memaparkan Ketua Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau pada 10 Nov lepas, lapor Bernama.
“Beliau telah menyatakan bahawa jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan semasa, di samping mempertikai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman),” menurut kenyataan itu.
Menurutnya SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara.
“SPRM adalah sebuah badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas dan profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Oleh yang demikian, SPRM berharap tindakan sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera terhadap mereka yang menyebarkan fitnah dan tohmahan itu.