
Anwar dan Zahid bergandingan membentuk kerajaan campuran.
Pembebasan Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan kes rasuah dihadapinya tidak mengejutkan, malahan ia sudah dijangka sejak awal lagi.
Agenda Daily sebelum ini sudah membuat ramalan dan bayangan berhubung pembebasan Zahid sehinggakan macai-macai dan pengikut tegar Anwar Ibrahim kepanasan apabila mendakwa ia satu fitnah, tetapi kini sudah terbukti selepas kerajaan campuran menggugurkan kes mahkamahnya.
Sejak beberapa bulan lalu, sudah nampak isyarat dan bayangan kerajaan campuran dipimpin Anwar akan membebaskan Presiden UMNO itu dengan beberapa siri keputusan mahkamah sebelum ini.
Lebih mengejutkan adalah langkah kerajaan campuran menyingkirkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Zahid pada bulan lepas (Ogos).
Raja Rozela mengetuai pendakwaan, di mana Zahid berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Mahkamah sebelum ini juga turut membenarkan pasport Zahid dikembalikan secara kekal atas alasan kononnya perlu menjalankan urusan rasmi kerajaan.
Malah pasukan peguam Zahid juga sebelum ini turut membuat permohonan untuk membuang kes rasuah Yayasan Akalbudi yang dihadapinya di mahkamah.
Sebenarnya, rancangan dan usaha untuk membebaskan Zahid sudah bermula sejak awal lagi selepas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang dibuat oleh Anwar sebaik menjadi ketua kerajaan hujung tahun lalu.
Anwar yang juga cikgu kepada Zahid itu walaupun menerima kecaman dan kritikan supaya tidak melantik anak muridnya itu tidak menghiraukan nasihat dan meneruskan keputusannya dengan memberi jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan.
Lebih ironi lagi, pembebasan Zahid pada Isnin lalu dibuat selepas pelantikan Peguam Negara baharu yang diumumkan oleh kerajaan campuran diketuai Anwar.
Walaupun Anwar cuba menafikan campur tangannya dalam keputusan Peguam Negara memohon untuk menamatkan prosiding kes mahkamah Zahid, namun persepsi umum adalah sebaliknya dengan ramai beranggapan keputusan membebaskan anak muridnya sememangnya sudah dirancang.
Susulan keputusan mahkamah baru-baru ini, Anwar sudah dijangka akan cuba mencipta naratif seolah-olah kerajaan campuran tidak campur tangan dalam pembebasan Zahid.
Namun, kronologi percaturan politik yang dibuat oleh Anwar sudah boleh dibaca dan langkah membebaskan Zahid sudah boleh diagak akan berlaku sejak awal-awal lagi.
Terdahulu, selepas 77 hari dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Zahid dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan berkenaan kepada mahkamah.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan AGC supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi semua pertuduhan terhadap Zahid pada Isnin lalu.
Berikut adalah kronologi kes Zahid:
3 Julai 2018
Zahid ke Ibu Pejabat SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana Yayasan Akalbudi (YAB).
10 Oktober 2018
Zahid memberi keterangan kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan kes dana YAB.
11 Oktober 2018
Zahid memberi keterangan kali ketiga kepada SPRM berhubung kes sama.
12 Oktober 2018
Zahid memberi keterangan kali keempat selama lebih tujuh jam kepada SPRM.
18 Oktober 2018
Zahid ditahan SPRM berhubung salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.
19 Oktober 2018
Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.
14 Disember 2018
Zahid didakwa lagi di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan iaitu pecah amanah wang berjumlah RM10 juta milik YAB.
20 Februari 2019
Zahid didakwa lagi di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik YAB.
28 Februari 2019
Kes di Mahkamah Sesyen dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
18 November 2019
Perbicaraan hari pertama di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bermula.
10 Ogos 2020
Pada hari ke-49 perbicaraan, pasukan pendakwaan meminda 12 pertuduhan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
19 Mac 2021
Pendakwaan menutup kesnya selepas 53 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 99 orang saksi.
24 Ogos 2021
Mahkamah Tinggi mengeluarkan sapina kepada seorang doktor pakar dari hospital swasta Shah Alam, bagi memberi penjelasan keadaan kesihatan Zahid, selepas tertuduh tidak hadir prosiding kesnya.
25 Ogos 2021
Doktor pakar itu memaklumkan bahawa Zahid ‘mungkin’ boleh menghadiri prosiding kes rasuahnya pada 6 September.
6 September 2021
Hujahan kes di akhir kes pendakwaan bermula.
8 September 2021
Hakim memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes tersebut.
7 Oktober 2021
Zahid membuat permohonan di Mahkamah Tinggi supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Jerman untuk mendapat rawatan tulang belakangnya.
11 Oktober 2021
Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Zahid untuk mengembalikan pasportnya bagi mendapatkan rawatan itu.
22 November 2021
Perbicaraan kes ditangguhkan selepas prosiding berlangsung seketika kerana peguam bela Zahid diserang penyakit gout.
6 Disember 2021
Hakim Collin menetapkan 24 Januari 2022 untuk keputusan kes di akhir kes pendakwaan.
24 Januari 2022
Mahkamah Tinggi memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
13 April 2022
Zahid mula membela diri secara bersumpah dan menafikan pertuduhan terhadapnya.
8 Disember 2022
Zahid telah mengemukakan representasi pertama kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
25 Januari 2023
Zahid telah mengemukakan representasi kedua kepada AGC.
28 Februari hingga 7 Mac 2023
Empat lagi representasi difailkan dengan membangkitkan isu dan bukti baharu.
21 Ogos 2023
Suami penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa hadir di Mahkamah Tinggi selaku saksi pembelaan kelapan Ahmad Zahid.
24 Ogos 2023
Pihak pembelaan memohon Peguam Negara menyegerakan keputusan representasi bagi mengkaji semua pertuduhan terhadap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ini.