
Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.
Undang-undang dalam negara dihormati dan dipatuhi setiap rakyat tetapi sebaliknya yang berlaku apabila kerajaan pula dilihat membela penjenayah perasuah, kata Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata ketika rakyat patuh kepada undang-undang negara, namun ada pihak lain dianggap kebal dan boleh diberikan pembebasan oleh kerajaan campuran.
Katanya, kalau pemimpin kerajaan buat sesuatu sehingga boleh menjejaskan keamanan dan kedamaian dibiarkan tanpa sebarang tindakan.
“Sedangkan keamanan adalah sesuatu yang sangat bernilai. Namun isu mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melibatkan sentiviti rakyat.
“Dalam situasi rakyat menjaga menjaga keamanan, pemimpin kerajaan pun kena jaga.
“Banyak lagi contoh tindakan kerajaan yang dianggap kebal termasuk melanggar perjanjian royalti petroleum,” katanya ketika membahas Rancangan Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat.
Pada 4 September lalu, Zahid terlepas bagi semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.
Ekoran tindakan tersebut, Majlis Peguam menyifatkan kenyataan AGC mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Zahid sebagai tidak mempunyai justifikasi sewajarnya.
Presidennya, Karen Cheah, dilaporkan berkata adalah tidak wajar bagi Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes Zahid itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media daripada memberikan penjelasan terperinci.
Terdahulu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) juga mengemukakan usul meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat bagi memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan melepaskan Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah berkait Yayasan Akalbudi.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar dibawa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam.