
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera membuka permohonan undi pos bagi enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Badan pemantau pilihan raya itu berkata SPR tidak semestinya perlu menunggu hingga semua negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk membuka permohonan undi pos itu.
Kata Bersih, pembukaan permohonan undi pos lebih awal akan memberikan lebih banyak masa kepada pengundi terutama yang berada di luar negara sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pengundi yang layak dapat memohon.
“Mengambil iktibar daripada pilihan raya lalu, jumlah pengundi pos kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara meningkat daripada 7,979 pada PRU-14 ke 48,109 pada PRU-15, peningkatan sebanyak 600%.
“SPR perlu sentiasa ingat bahawa adalah menjadi tanggungjawab Perlembagaan untuk mereka memastikan bahawa setiap rakyat yang layak mengundi diberikan akses pengundian yang mencukupi bagi pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dalam pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
“Kejadian seperti petugas pilihan raya seperti kerani pengundian dan ketua tempat mengundi tidak menjadi pengundi pos juga tidak seharusnya berulang kembali,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam kenyataan sama Bersih mencadangkan pengundi pos kategori 1C untuk agensi atau organisasi yang dibenarkan diperluas kepada petugas kesihatan dan keselamatan yang bekerja di sektor swasta seperti hospital swasta yang bertugas pada hari pengundian.
Selain itu, Bersih menegaskan kejadian petugas pilihan raya tidak enjadi pengundi pos seperti yang berlaku sebelum ini tidak seharusnya berulang kembali.
“Pada PRU-15, pasukan Pemantau Bersih telah menerima banyak aduan kerani dan ketua tempat mengundi tidak didaftarkan menjadi pengundi pos walaupun mereka telah memohon dan akhirnya mereka dinafikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya kerana terpaksa bertugas” kata kenyataan itu.