
Zulkifli Jaafar (Kanan sekali) akan bertanding di Parlimen Pulai, sementara Dr Mohd Mazri Yahya di DUN Jeram.
Dua tokoh tempatan diumumkan sebagai calon yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang akan berlangsung 9 September nanti.
Usahawan tempatan yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar akan bertanding di Parlimen Pulai, sementara Dr Mohd Mazri Yahya, pakar bedah vaskular dan endovaskular yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor akan bertanding di DUN Jeram.
Pengumuman dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan Utama PN Pulai petang tadi.
Menurut Muhyiddin, kedua-dua calon tersebut dipilih menerusi proses saringan yang ketat dan merupakan anak tempatan.
“Calon ini kita telah buat melalui satu proses saringan dan saya nak jelaskan proses pemilihan dibuat menerusi satu jawatankuasa di peringkat pusat.
“Kita berikan keutamaan pada anak tempatan ataupun anak Johor yang layak dan sesuai. Maka sebab itu keputusan yang saya akan umum ini akan harap diterima dengan parti terbuka,” katanya semasa majlis pengumuman tersebut.
Majlis itu turut dihadiri Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin.
Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 September dan hari pengundian pada 9 September.