
Anwar menaiki pesawat peribadi ke Langkawi hari ini.
Dalam pecutan terakhir kempen sebelum hari pengundian esok, Perdana Menteri, Datauk Seri Anwar Ibrahim tidak melepaskan peluang berkempen ke Langkawi, hari ini.
Dikhabarkan beliau menaiki pesawat peribadi ke kawasan tersebut untuk membantu kempen calon-calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional bagi pilihan raya negeri (PRN).
Sebaik mendarat di Langkawi beliau disambut pegawai dan penyokongnya sebelum dibacakan doa.
Mengikut perkongsian di Facebook, Anwar ke Langkawi bagi menghadiri Majlis Perasmian Geopark Discovery dan Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Malaysia di Jeti Kilim.
Calon PH-BN bagi DUN Kuah, Ahmad Fauzi Chik turut berkongsi tentang kehadiran Anwar itu.
Anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin juga berkongsi keterujaannya menerima kehadiran Pengerusi PH itu di Langkawi.
“Terima kasih PMX kerana hadir ke Langkawi untuk memberi suntikan semangat di saat pecutan terakhir kempen hari ini.
“Saya sangat teruja dan menghargai kehadiran YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Menerusi hantaran di Facebook Anwar, beliau bergegas ke Pulau Pinang selepas usai tugasnya di Langkawi untuk makan tengahari bersama warga Balik Pulau.