
Anwar bersama anak muridnya, Zahid Hamidi.
Keputusan kerajaan campuran menghentikan prosiding kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dijawab di Dewan Rakyat nanti, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Berkemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan memberi penjelasan berhubung keputusan Peguam Negara menghentikan perbicaraan 47 kes mahkamah anak muridnya itu yang sudah pun diperingkat prima facie dan bela diri.
“Adakah Perdana Menteri akan menjawab? Tuan punya badan (Anwar) ada di sini. Dia buat (tanda) good itu dia jawab esok. Insya-Allah, (jam) 2.30 hingga 3.30 petang.
“Soalan itu YB (Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) boleh tanya, tetapi komitmen daripada kerajaan hari ini, kita akan berlaku adil,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertanya sama ada Anwar akan menjawabkeputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) kepada Zahid sebelum ini terhadap Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi di Dewan Rakyat.
Minggu lalu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mencadangkan supaya Anwar menjawab sendiri keputusan DNAA tersebut.
Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Beliau diberikan penghakiman DNAA pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan yang meluas, dengan Jabatan Peguam Negara berkata hakim memutuskan berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakannya kepada mahkamah.