
Presiden UMNO, Zahid Hamidi yakin dapat menang pada PRN enam negeri nanti.
Masih belum ada calon Menteri Besar (MB) Kedah sekiranya Pakatan Harapan (PH)-UMNO menang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata sebaliknya mereka akan mengumumkan calon MB Kedah daripada gabungan itu selepas menang PRN, tetapi mendakwa sudah memiliki nama bagi jawatan nombor satu tersebut sekiranya memperoleh majoriti mudah.
“Dari segi itu (nama calon Menteri Besar) yang penting kita cukupkan kerusi dulu kepada 19 (majoriti mudah) atau lebih dan (setakat ini) kita sudah ada nama calonnya walaupun tidak diumumkan.
“Kita tidak umumkan sekarang kerana tidak mahu mendahului takdir atau kuasa Allah,” katanya dipetik laporan BH.
Zahid terdahulu merasmikan Program Desa Cergas di Padang Taman Nilam, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mengulas mengenai kemelut kekurangan trip perjalanan feri menghubungkan tanah besar dan pulau ini yang menghantui penduduk lebih dua tahun lalu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, isu berkenaan menjadi agenda utama akan diselesaikan kerajaan gabungan PH-UMNO jika menang pada 12 Ogos ini.
“Isu itu (kekurangan trip feri) kerana alur laluan feri berlumpur dan trip perjalanan hanya ditambah (pengusaha feri) apabila ada peningkatan paras air di pelabuhan.
“Jadi, kerajaan Persekutuan hanya perlu menambah peruntukan (menaik taraf pelabuhan) dan isu itu mudah diselesaikan jika kerajaan negeri Kedah ini diambil alih oleh gabungan parti Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.