
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan mengkaji pengeluaran KWSP secara bersasar jika Perikatan Nasional menang PRU-15 pada 19 November ini..
Bersatu senada dengan PAS yang berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mengadakan pilihan raya ketika musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya, di samping menyusahkan rakyat.
“Anggota Jemaah Menteri dari PN telah diminta untuk mempertegaskan pendirian ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Semua Ahli Parlimen PN juga diminta mengambil pendirian yang sama,” katanya menurut beritabersatu, hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan kerajaan mesti fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik.
Ini kerana, kata Muhyiddin, rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit.
“Proses pemulihan negara yang masih perlahan. Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu membuat pendirian menolak sebarang usaha yang dilakukan oleh UMNO yang mendesak PRU-15 diadakan pada masa terdekat ini.
“PAS berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempo terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan, mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan,” katanya hari ini.