
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selepas nama dikaitkan dengan syarikat mendapat tender di Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membuka mulut dan mengesahkan namanya berada dalam syarikat yang dianugerahkan projek RM700 juta.
Nama Menteri Besar Selangor itu dan seorang Exco Selangor, Izham Hashim semalam dilaporkan sebuah portal tersenarai sebagai Pengarah dalam syarikat yang didakwa mendapat projek rundingan terus, malah Perikatan Nasional (PN) Selangor juga sudah membuat laporan polis.
Amirudin bagaimanapun tidak menafikan namanya dalam syarikat tersebut dan tidak gentar dengan serangan yang bakal dihadapinya susulan pendedahan tersebut.
“Seperti yang dinyatakan syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebelum ini, kehadiran saya dan Exco Selangor, Izham Hashim, dalam syarikat terbabit bukan atas dasar peribadi. Ia adalah mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri dijamin dengan selesa.
“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada PN yang menghantar ‘peluru kapur’ untuk menyerang kerajaan negeri, boleh cuba lagi pada masa depan.
“Saya ingin tegaskan, kita mewakili kerajaan negeri. Saya mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri tidak terganggu dan tidak terkurang,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Terdahulu, PN Selangor membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa itu menyiasat sebarang pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat yang didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri berkenaan.
Gesaan itu dibuat selepas tular dakwaan dalam media sosial bahawa Amirudin menyalahgunakan kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.
Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin, dalam satu kenyataan bagaimanapun dilaporkan mendakwa kos RM700 juta itu adalah anggaran bagi projek pendalaman serta pelebaran Sungai Klang bertujuan meningkatkan kapasiti sungai untuk menangani isu pencemaran dan banjir, selain tidak membabitkan suntikan tunai daripada Kerajaan Selangor.
Syaiful Azmen dipetik berkata, kos itu akan dibiayai melalui tanggungan premium tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta, tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).
Beliau berkata, kertas cadangan mengenai pendalaman serta pelebaran sungai berkenaan dibawa syarikat itu kepada kerajaan negeri selepas kejadian banjir besar pada 2021.