
Gabungan kerajaan campuran.
Dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kekal dimenangi calon Pakatan Harapan (PH) selepas berakhir pengundian hari ini.
Kemenangan calon PH di kedua-dua PRK tersebut pastinya melegakan UMNO dan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baharu bebas daripada kes mahkamahnya selepas kerajaan campuran menghentikan prosiding perbicaraan baru-baru ini.
Untuk rekod, kerajaan campuran berdepan kritikan hebat susulan pembebasan pemimpin UMNO daripada kes mahkamah yang dihadapi mereka.
Calon parti Amanah, Suhaizan Kaiat memenangi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi dan membolehkan parti itu mempertahan kawasan yang dimenangi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.
Suhaizan, yang bertanding buat kali ketujuh dalam pilihan raya, memperoleh 48,283 undi bagi menewaskan dua pencabarnya iaitu Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi yang masing-masing mendapat 29,642 undi serta 528 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Pulai Miswan Yunus pada 10.09 malam di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini malam ini.
Keputusan itu turut menyaksikan Samsudin terpaksa berputih mata apabila hilang wang deposit.
Sementara itu di DUN Simpang Jeram, calon PH, Nazri Abdul Rahman menang dengan majoriti 3,514 undi.
Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN yang memperoleh 10,330 undi, manakala calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan hanya memperoleh 311 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah pada pukul 9.12 malam tadi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas, DUN Simpang Jeram dimenangi Datuk Seri Salahuddin Ayub daripada PH apabila memperoleh 8,749 undi menewaskan calon BN Datuk Lokman Md. Don (6,062 undi), Zarul Salleh dari PN (6,350 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).