
UMNO bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah di PRK Parlimen Pulai.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat menyangkal dakwaan yang mengatakan akar umbi UMNO di Parlimen itu menolak beliau sebagai calon.
Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor berkata tindakan pihak tertentu yang menaikkan kain rentang yang mendakwa penolakan cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai terhadap beliau sebagai calon, dilihat sebagai satu tindakan provokasi yang cuba memecahbelahkan kesepaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN), menurut laporan Bernama.
“Ini adalah satu propaganda yang dimainkan (pihak tertentu) seolah-olah ada ketidakpuasan hati di peringkat akar umbi UMNO.
“Saya nak maklumkan, yang menurunkan kain rentang itu baru-baru ini adalah sahabat-sahabat UMNO sendiri, dan itu menunjukkan bukan mereka yang buat (propaganda), tapi ada pihak lain yang cuba buat provokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perjumpaan bersama jentera serta akar umbi BN di Kampung Sungai Danga, Pulai yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 9 Sept.