
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Peruntukan kawasan bagi Parlimen Muar ditarik balik oleh kerajaan campuran, dakwa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu mengesahkan peruntukan itu ditarik daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebaik mengumumkan keputusan tidak berada di blok kerajaan campuran diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Syed Saddiq berkata demikian sebagai membalas terhadap Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang mencelah semasa penggulungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat pada hari ini.
Dalam celahannya, beliau meluahkan kembimbangan apabila sentimen tiada peruntukan terus dimainkan sedangkan Kementerian Pendidikan menyalurkan sumbangan kepada sekolah tanpa mengira sentimen politik.
Beliau secara spesifik turut menyebut Muar (Syed Saddiq) dalam celahannya.
Kenyataan itu membuatkan Syed Saddiq terus bangun, membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) dan memohon untuk respons terhadap Kar Hing.
“Dalam bab ini, saya dapat pengesahan daripada ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan), sebaik saja saya berada di blok ini peruntukan telah ditarik dan dikosongkan.
“Persoalan sama kepada semua Ahli Parlimen pembangkang, yang saya yakin sehingga ke hari ini tidak dapat peruntukan.
“Dalam RM3.8 juta yang semua Ahli Parlimen kerajaan dapat, RM2 juta boleh diperuntukkan untuk bina dewan, baik pulih sekolah dan bantu orang susah.
“Jangan nak tuduh. Persoalan, kenapa Ahli Parlimen kerajaan boleh dapat RM4 juta, pembangkang dapat RM0. Jawab kepada rakyat,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan campuran sehingga hari ini tidak memberi peruntukan ke kawasan Parlimen Perikatan Nasional (PN).