
Dr Mahathir menyaman Anwar sebelum ini.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen yang dirujuk dalam pernyataan pembelaannya dalam satu saman fitnah.
Pada 3 Mei lepas, Dr Mahathir menyaman Anwar berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lepas, lapor Bernama.
Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain menolak permohonan Dr Mahathir supaya Anwar selaku defendan menyerahkan dokumen yang dikaitkan dengan saman fitnah tersebut.
Peguam Alliff Benjamin Suhaimi mewakili Anwar ketika dihubungi Bernama berkata permohonan Dr Mahathir selaku plaintif ditolak dengan kos RM2,000 oleh mahkamah dengan alasan dokumen diminta tidak dirujuk secara spesifik dalam pernyataan pembelaan terpinda dan apa dirujuk dalam pembelaan itu adalah peristiwa atau transaksi pada masa lalu.
“Namun, jika ada dokumen-dokumen dinyatakan itu, ia akan menjadi pembelaan (Anwar) dan perlu dikemukakan ketika pengurusan kes di peringkat praperbicaraan. Mahkamah menetapkan 3 Nov ini untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak memaklumkan permohonan interlokutori lain, sekiranya ada,” kata peguam itu.
Sementara itu, Muhammad Rafique Rashid Ali, mewakili Dr Mahathir yang mengesahkan keputusan hari ini berkata anak guamnya mahu Anwar, antara lain mengemukakan dokumen-dokumen yang dirujuk beliau dalam pernyataan pembelaan terpinda mengenai dakwaan isu menyelamatkan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) pada 1997.
Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri mendakwa pada 18 Mac lepas, Anwar ketika menyampaikan ucapan pada kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam, mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.
Menurut Dr Mahathir, antaranya kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu berpangkat tinggi.