
Calon Perikatan Nasional di Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kajian terbaharu yang dijalankan PAS mendapati majoriti pengundi baharu khususnya golongan muda tidak berminat untuk mengikuti aktiviti kempen parti politik, kata Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Samsuri yang juga Naib Presiden PAS itu berkata walaupun pengundi baharu tidak mengikuti program ceramah atau berkempen, namun hasil kajian dijalankan mendapati rata-ratanya akan keluar untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.
“Hasil kajian itu juga, kita mendapati lebih 60 peratus pengundi baharu mahu menunaikan kewajipan mereka sebagai pengundi sahaja dan tidak mahu membabitkan diri dengan sebarang aktiviti ceramah atau kempen,” katanya dipetik laporan BH.
Samsuri berkata kajian tersebut dijalankan sejak dua bulan lalu dan PAS perlu mengambil pendekatan yang lebih mesra dengan kelompok pengundi baharu tersebut.
“Jadi, kita mahu parti berkempen cara betul terhadap pengundi baharu, tidak mengelirukan mereka ini dengan perkara tidak wajar dari segi berita palsu dan sebagainya,” katanya lagi.
Menurut Samsuri lagi, dua pertiga dalam kalangan mereka tidak mahu terbabit dalam apa jua bentuk kempen dan parti politik haruslah memberi maklumat serta kempen dengan cara yang betul kepada golongan ini.
Menurutnya, golongan ini mahu terbabit dalam sistem demokrasi sebagai salah seorang pengundi, tetapi sampai kepada salah satu proses demotrasi iaitu kempen pilihanraya dan perkara berkaitan dengan aktiviti pilihanraya, mereka tidak mahu terbabit.
“Kita dapati kesedaran politik dalam kalangan pengundi muda sangat tinggi dan mereka berasakan patut turut sama dalam membuat perubahan dalam kepimpinan negara.
“Pendidikan politik ini bukan satu perkara yang boleh dibiarkan mereka mendapat maklumat dengan sendiri saja, malah perlu diinstitusikan baru mereka menjadi pengundi bermaklumat,” katanya.