
Anthony Loke meminta penjelasan Pejabat Peguam Negara berhubung pembebasan Presiden UMNO, Zahid Hamidi.
Permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan dihadapinya adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah, kata Anthony Loke Siew Fook.
Setiausaha Agung DAP itu memberi respon yang dilihat agak diplomatik dan berlembut berhubung langkah pendakwaan dalam kes rasuah Presiden UMNO itu yang memohon untuk tidak meneruskan prosiding semalam walaupun sudah didapati wujudnya prima facie.
Beliau berkata DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Tan Sri Idris Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.
“Penjelasan ini adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara,” katanya menerusi sebuah hantaran di Facebook.
Beliau berkata DAP juga akan menjunjung prinsip pengasingan kuasa antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.
Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kes itu kerana berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.