
Peguam Negara (AG), Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mempertahankan keputusan memohon menamatkan kes rasuah Zahid Hamidi.
Langkah permohonan untuk menghentikan prosiding kes rasuah dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipertahankan Peguam Negara (AG), Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Ahmad Terrirudin yang baharu dilantik menjadi AG oleh kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menjelaskan keputusan memohon menghentikan kes mahkamah Zahid itu dibuat berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan adalah mengikut budi bicaranya.
“Kenyataan itu sendiri merujuk kepada Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan budi bicara penuh kepada Peguam Negara untuk antara lainnya menghentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.
“Peguam Negara boleh menghentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh mahkamah dan ini termasuk di peringkat selepas prima facie sudah dibuktikan.
“Penting juga dinyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama sesuatu pertuduhan dihentikan selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya dipetik dalam laporan BH.
Beliau menegaskan, sebarang budi bicara dilaksanakan AG tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya apatah lagi akibat daripada campur tangan oleh mana-mana pihak, tetapi semata-mata setelah Peguam Negara mengambil kira keadilan kepada semua pihak demi pentadbiran keadilan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa AGC ingin menghentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.
Susulan itu, Majlis Peguam menyifatkan kenyataan AGC mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Zahid sebagai tidak mempunyai justifikasi sewajarnya.
Presidennya, Karen Cheah, dilaporkan berkata adalah tidak wajar bagi AGC untuk mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes Ahmad Zahid itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media daripada memberikan penjelasan terperinci.
Pada masa sama, Ahmad Terrirudin berkata, sudah tentu Peguam Negara dan jabatan ini perlu mengambil masa untuk meneliti setiap butiran dan dokumen disertakan dengan penuh hemah, sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat.
Beliau berkata, pihaknya hanya melaksanakan tugas dan kewajipan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang sedia ada.
“Oleh itu, jabatan ini berharap semua pihak dapat menghentikan sebarang spekulasi apatah lagi menyebarkannya.
“Ini kerana jabatan ini dengan bantuan pelbagai pihak terutamanya pihak penyiasatan masih sedang menyiasat semua bukti baharu yang timbul berkaitan kes ini.
“Sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa semula tertuduh, mendakwa pihak lain yang berkaitan atau sebaliknya akan dibuat oleh jabatan ini setelah siasatan yang lebih terperinci dan komprehensif selesai,” katanya.