
Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Isham Jalil.
Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil menggelabah selepas kekalahan memalukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang bekerja dengan Zahid di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Isham tidak perlu menggelabah dan terburu-buru dalam membuat sebarang gesaan walaupun UMNO merekodkan keputusan buruk pada enam PRN.
Sebaliknya, Razlan membidas Isham Jalil yang dilihat terburu-buru apabila menggesa mesyuarat MT dan perhimpunan agung khas UMNO diadakan segera.
Razlan mempersoalkan niat sebenar Isham apabila menyatakan demikian secara terbuka.
“Nak buat mesyuarat atau apa-apa, kena ada analisis, hasil kajian, tak boleh guna satu data untuk buat semua keputusan. Kalau rumah terbakar, nak tunggu laporan bomba pun ambil masa dua minggu, inikan pula babitkan enam negeri, takkan nak harap dalam dua, tiga hari dapat semua analisis.
“Kita kena matang, sebab itu saya nak tanya, apa niat dia tulis gesaan ini di Facebook sedangkan ini babit hal dalaman dan strategi parti. Kalau dia tak puas hati, bincang dalam keluarga, bukan bercerita kepada jiran dan orang luar. Apa tujuan dia cakap begini secara terbuka?,” katanya hari ini dipetik laporan BH.
Beliau diminta mengulas gesaan Isham menerusi Facebook semalam supaya mesyuarat MT khas dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) khas diadakan segera untuk membincangkan hala tuju parti selepas UMNO ‘berada dalam saat getir dan kritikal’ pasca PRN.
Menurut Isham, MT UMNO masih belum bersidang atau dipanggil bersidang walaupun selepas enam hari PRN berakhir, yang menyaksikan UMNO menjadi wakil tunggal BN hanya menang 17.6 peratus atau 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi di enam negeri.
Keputusan enam PRN pada 12 Ogos lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH)-UMNOkekal memerintah di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional (PN) mengukuhkan penguasaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
PN dilihat menguasai PRN itu secara keseluruhan selepas berjaya mengurangkan majoriti PH-BN di tiga negeri gabungan, khususnya mengakhiri penguasaan dua pertiga di Selangor dan berjaya bertapak di Negeri Sembilan, selain menang semua kerusi di Terengganu.
Kemaraan PN dalam PRN dikatakan berpunca daripada kebanyakan penyokong UMNO memberi undi kepada PN atau tidak keluar mengundi sebagai protes terhadap kerjasama UMNO dengan DAP dan PH serta bantahan terhadap Presiden UMNO.