
Di saat memeluk isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berasa tenangnya hati, lapangnya dada, dan redha takdir Illahi.
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin sebak mengenangkan sokongan di atas perjuangan gabungan parti itu dan masih terngiang-ngiang laungan gelombang rakyat.
Menurutnya perjuangan murni yang didasari tekad untuk menyelamatkan negara dan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara hendaklah diteruskan dan kerja lebih kuat walaupun jalan yang dilalui adalah sukar.
“Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini. Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.
“Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi. Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.
“Saya tahu. Saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.
“Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam tadi (25 November 2022).
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Muhyiddin yang memimpin Perikatan Nasional membuat kejutan besar apabila menang di 73 kerusi, setelah rakyat menyedari Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak lagi boleh dipercayai.
BN hanya memperoleh 30 daripada 221 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, manakala PRU satu kerusi lagi, Padang Serai, akan diadakan awal bulan depan.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menasihatkan anggota Perikatan Nasional dan rakyat yang memberi sokongan supaya tidak bersedih hari kerana jalan yang akan ditempuh masih masih panjang.
“Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda.
“Ingat lah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.
“Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.
“Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah swt dan semoga perjuangan kita semua diredhai Yang Maha Esa. Terima kasih semua rakyat Malaysia,” katanya.