
MP Gua Musang, Zahari Kechik.
Seorang lagi Ahli Parlimen (MP) Perikatan Nasional (PN) bertindak mengambil keputusan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MP Jeli Zahari Kechik menjadi wakil keempat daripada Bersatu memberi sokongan kepada kerajaan campuran, mengikut jejak tiga lagi MP sebelum ini yang juga mengambil tindakan serupa dengan memberikan alasan hampir sama dalam kenyataan medianya.
“Selepas meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan dengan sehabis baik tentang permasalahan yang dihadapi rakyat terkini mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan dalam kawasan Parlimen Jeli, maka saya sebagai Ahli Parlimen Jeli dengan ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.
“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi.
“Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku Ahli Parlimen, saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Zahari berkata, sokongan terhadap Perdana Menteri itu berkuat kuasa hari ini.
Beliau bagaimanapun tetap akan taat, setia dan kekal sebagai ahli Bersatu.
“Saya bersedia berdepan dan menerima risiko tindakan disiplin parti demi memastikan pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan daripada Kerajaan Pusat.
“Maka dengan ini saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat. Sokongan saya ini berterusan hingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya,” katanya lagi.
Jelasnya, pengisytiharan sokongan kepada Perdana Menteri itu dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak sebaliknya atas kerelaan beliau sendiri demi rakyat.
“Moga Allah S.W.T akan memberkati dan kepada Allah saya berserah,” katanya.