
Ketua Penerangan Bersatu selangor, Mohd Hamidi Abu Bakar.
Tindakan kerajaan Selangor menggunakan data rakyat tanpa kebenaran berhubung kontroversi Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) dibidas Bersatu Selangor hari ini.
Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Mohd Hamidi Abu Bakar berkata tindakan pendaftaran nama penduduk negeri itu tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan menyalahi undang-undang.
“Isu ini menjadi kontroversi apabila data nama warga Selangor didaftarkan secara tiba-tiba untuk menerima insurans ini walaupun ramai daripadanya mendakwa tidak memohon skim ini.
“Perkara ini jelas melanggar undang-undang di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 jika terdapat kesalahan dilakukan. Malangnya ianya dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor sendiri tanpa pengetahuan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tegasnya, tindakan tersebut jelas mencabuli data peribadi rakyat dan terdapat juga laporan individu yang meninggal dunia juga terdapat didaftarkan dalam skim tersebut.
“Isu ‘data breach’ warga Selangor terhadap Insurans INSAN Selangor perkara yang serius. Kerajaan negeri telah mencabuli data rakyat tanpa persetujuan penama. Malah dikatakan rakyat yang sudah meninggal dunia turut menerima skim ini dan jelas ianya tidak masuk akal,” katanya lagi.
Hamidi juga membidas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang memberi jawapan tidak acuh tidak acuh dan gagal memahami isu tersebut kerana ia jelas melanggar undang-undang data peribadi.
“Jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari ‘tidak perlu aktifkan jika tidak mahu insurans ini’ yang diberikan tidak memuaskan dan ‘separuh masak’.
“Menteri Besar tidak menjelaskan secara terperinci persoalan rakyat yang risau data peribadi mereka telah dibocorkan,” katanya lagi.
Beliau juga mendesak supaya pengendali skim tersebut memberi penjelasan berhubung kontrak sistem yang diberikan kepada mereka sama ada ia menjalani proses yang ditetapkan.
“Kerajaan Negeri Selangor perlu segera memberikan penjelasan kepada rakyat berikutan ianya melibatkan data peribadi yang digunakan tanpa kebenaran.
“Penjelasan berkenaan syarikat agen Wavpay Fintech Sdn Bhd juga perlu dilakukan adakah ianya sudahpun melalui proses yang ditetapkan sebelum dilantik sebagai agen bagi skim ini.
“Isu ini melibatkan data peribadi rakyat dimana sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihak kerajaan sepatutnya bertindak melindungi hak dan data peribadi rakyat. Penjelasan yang tuntas oleh kerajaan negeri perlu dilakukan bagi menjawab kebimbangan rakyat hari ini,” katanya lagi.