
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. – Gambar Agenda Daily oleh Hiekal Rosli, 17 November, 2022.
Kesihatan Tan Sri Abdul Hadi Awang kini semakin pulih selepas dimasukkan ke war baru-baru ini untuk diberi rawatan.
Presiden PAS tersebut juga dilaporkan berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya dan sedang berehat dengan mengisi masanya menulis dua artikel ketika sedang dirawat.
Naib Presiden PAS, Datuk Nik Amar Nik Adbullah dilaporkan memberitahu Ahli Parlimen Marang itu dipindahkan ke wad biasa hari ini selepas beberapa hari dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) dan dalam keadaan stabil.
Menurut Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman keadaan Hadisemakin stabil namun masih memerlukan pemantauan doktor.
“Alhamdulillah, keadaan Tok Guru makin baik, sudah pulih, dalam pemantauan.
“Masa terluang diisi dengan membaca dan menulis (Tok Guru sedang siapkan dua artikel baharu), juga berbincang hal-hal semasa.
“Tok Guru berkirim salam kepada semua. Terima kasih atas doa dan ingatan,” katanya.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Muhammad Khalil yang juga anak sulung kepada Abdul Hadi memaklumkan ayahnya dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan pemantauan doktor.
Beliau berkata, kesihatan bapanya itu stabil tetapi masih memerlukan rehat yang secukupnya dan beberapa program terutama membabitkan Abdul Hadi terpaksa ditangguhkan sementara.