
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh memilih untuk menjadi Perdana Menteri (PM) paling singkat jika bertindak membubarkan Parlimen, kata Datuk Mahfuz Omar.
Naib Presiden Amanah itu berkata Ismail Sabri masih belum bersedia untuk melepaskan jawatannya dengan memanggil pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan walaupun berdepan tekanan demi tekanan, terbaharu desakan bubar Parlimen segera dilaungkan semasa Konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
“Saya tak rasa Ismail bersedia untuk melepaskan jawatannya begitu sahaja.
“Saya tak rasa perdana menteri boleh terima keputusan yang dicapai pada konvensyen BN untuk membubarkan Parlimen sekarang, apabila rakyat tidak berpuas hati dengan kos sara hidup,” katanya dalam program bual bicara Amanah yang disiarkan di Facebook semalam.
Mahfuz juga tidak menolak Ismail Sabri akan menjadi PM tersingkat jika meneruskan hasrat untuk membubarkan Parlimen dan mengikut telunjuk pemimpin atasan UMNO yang berterusan memberi tekanan terhadap pentadbirannya.
“Perdana menteri patut tahu bahawa rakyat sudah letih dan muak dengan krisis yang kita hadapi sekarang.
“Jika beliau mahu jadi PM dengan penggal paling singkat, maka bubarkanlah Parlimen. Jika beliau mahu pastikan beliau bukan PM selepas PRU-15, bubarkanlah Parlimen,” katanya lagi.
Terdahulu semasa konvensyen BN, Ismail Sabri berkata, beliau tidak akan menangguhkan pembubaran Parlimen “walau sesaat pun” sebaik sahaja BN bersedia.
Bagaimanapun, dalam satu wawancara dengan media di Jepun bulan lepas beliau berkata, PRU perlu ditunda disebabkan kenaikan kos sara hidup dan inflasi.