
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. – Gambar Agenda Daily oleh Hiekal Rosli, 17 November, 2022.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai boleh mengubah corak pentadbiran kerajaan campuran yang angkuh tidak mendengar suara rakyat yang tersempit dengan pelbagai masalah ketika ini, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata sekiranya sokongan rakyat diberikan kepada calon Perikatan Nasional (PN) ia mampu memberi isyarat jelas kepada kerajaan campuran untuk memandang serius setiap permasalahan rakyat dan ia mempunyai makna besar ke arah mencorak lanskap politik selepas ini.
Ujarnya lagi, ia akan memastikan referendum rakyat dibawa ke Putrajaya sekali gus memberi gambaran isyarat penting perubahan kerajaan.
“Ada yang dakwa PRK Pulai ini, tak jadi apa sebab kecil sahaja. Namun ia sebenarnya ada makna besar sebab Ahli Parlimen yang menang nanti akan bersuara bagi pihak kita (PN) di Parlimen.
“Apatah lagi PN memiliki jumlah kerusi agak besar di Parlimen, kerajaan boleh berubah bila-bila masa sahaja. Kita memerlukan tambahan kerusi ini (Parlimen Pulai) dan beberapa lagi (kerusi) jadi kita harap bersabar.
“Kita juga minta ahli UMNO yang insaf juga supaya berani berubah. Ini kerana kerajaan akan berubah pada bila-bila masa, itu boleh berlaku, jangan bimbang,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog rakyat di Pejabat PAS Pulai, pada Ahad.
Hadir sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman yang juga Ahli Parlimen Bachok; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan PN bagi Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini, Hadi menegaskan kemenangan PN dalam PRN tersebut membolehkan perubahan di peringkat Pusat berlaku.
Dalam pada itu, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, momentum gelombang PN mulai dirasai pada PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram, berdasarkan sambutan pengundi ketika ceramah dan kempen diadakan.
“Setakat ini, perkembanganya sangat positif dengan sambutan bila kita (PN) mengadakan ceramah dan kempen rumah ke rumah.
“Maklum balas daripada pengundi juga sangat baik membuktikan gelombang PRU15 tidak berhenti malah dapat dilihat dengan nyata pada PRN di enam negeri dan kini di dua PRK Johor,” katanya.