
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menempelak Datuk Seri Najib Razak yang serba tahu di Facebook tetapi serba tidak tahu di mahkamah.
Selepas Datuk Seri Najib Razak tidak bersetuju projek kapal tidak siap RM9.1 dihentikan seperti digesa pembangkang, Rafizi Ramli memberi amaran keras bekas Perdana Menteri akan kena kali ini.
Timbalan Presiden PKR itu mendakwa skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang diluluskan semasa zaman pentadbiran Najib itu mempunyai persamaan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang pernah berlaku sebelum ini.
“Modus operandi tak ubah macam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dahulu.
“Masaklah Najib (Datuk Seri Najib Razak) kali ni. Biar dia jawab bagaimana pertahanan negara jadi lemah semasa dia jadi perdana menteri, selama ini dia fitnah kononnya semua orang jual aset negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Untuk rekod, Najib sedang berdepan puluhan pertuduhan rasuah di mahkamah melibatkan dana 1MDB, malah sudah didapati bersalah bersabit kes SRC International Sdn Bhd.
Rafizi juga melabel Najib sebagai pakar putar alam apabila begitu cepat menyalahkan pihak lain dalam isu kapal tidak siap Tentera Laut Diraja Malaysia itu, seakan-akan dirinya tidak bersalah dalam meluluskan projek tersebut.
“Saya sudah baca putar alam #SayaPutarJib yang ditulis admin Najib Razak untuk cuci tangan skandal RM9 bilion kapal perang. Lemah sangat putar alam Najib kali ni.
“Insya Allah kali ini perdana menteri Facebook ni akan kena sebab dia tidak boleh lari dalam hal skandal kapal perang ni. Akhirnya akan balik kepada dia juga. Sepupu dia pun akan cepat-cepat tuding jari kat dia untuk selamatkan diri,” katanya lagi.
Rafizi sebelum ini menamakan Najib sebagai antara individu yang terlibat dalam meluluskan perolehan projek LCS.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh sebelum ini mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan.
Najib menerusi catatan di laman Facebook mendakwa Pakatan Harapan telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.
Rafizi sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya RM890 juta duit rakyat hangus daripada projek kapal Kementerian Pertahanan yang gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan itu dan bakal membuat siri pendedahan melibatkan tiga pemimpin utama UMNO.
Rafizi menamakan tiga pemimpin UMNO dalam skandal kapal RM9 bilion itu, iaitu Najib, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Menteri Pertahanan sekarang, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.