
Anwar bersama anak muridnya, Zahid Hamidi.
Aktivis Hishamuddin Rais mendakwa Perdana Menteri (PMX) yang dahulunya dihantui sampel DNA milik Mohd Saiful Bukhari Azlan kini berdepan pula cabaran untuk menjelaskan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Hishammuddin atau dikenali sebagai Isham Rais, aktivis yang lantang dan menyokong Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menyindir Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran keputusan pendakwa raya memohon untuk menghentikan pendakwaan terhadap anak muridnya dalam 47 kes rasuah.
Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Beliau diberikan penghakiman DNAA pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan yang meluas, dengan Jabatan Peguam Negara berkata hakim memutuskan berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakannya kepada mahkamah.
Dari DNA ke DNAA
Oleh Isham Rais (Artikel ASAL disiarkan dalam portal MalaysiaNow)
Dulu ketika Anwar berhadapan dengan kes meliwat Saiful Bukhari Azlan, si Anwar ini dihantui oleh DNA.
Polis menangkap Anwar untuk mengambil DNA.
Polis mahu mengenal pasti apakah DNA Anwar ini sama seperti DNA air mani yang ditemui dalam lubang jubur Saiful.
Kali ini dengan kes Zahid sekali lagi, si Anwar ini dihantui bukan oleh DNA Zahid tapi oleh DNAA Zahid.
Kes DNAA Zahid ini memang heboh.
Satu Malaysia heboh bagai nak rak. Lebih heboh dari konsert “Jom Heboh”.
Dalam heboh ni ada “pelik tetapi benar terjadi”.
Di Malaysia ini ada dua orang yang tidak heboh menyuarakan pandangan tentang DNAA Zahid.
Dua sosok ini selalunya akan bersuara dalam apa saja hal.
Jika gajah terkentut dan unta berak cair di Zoo Negara pun Lim Kit Siang dan P Ramasamy akan bersuara memberi pandangan.
Kali ini dua pemimpin DAP yang dikenali sebagai “kaki komen” senyap membisu macam cicak berak kapur.
Sahih lagi afdal di Malaysia yang tidak heboh tentang kes DNAA Zahid ini hanya “Tan Sri” Lim Kit Siang dan Ramasamy.
Malah Anthony Loke pemimpin besar DAP sendiri mahu penjelasan mengapa Zahid dibebaskan oleh peguam negara.