
Dr Mahathir membidas kerajaan campuran dipimpin Anwar.
Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelar pentadbiran kerajaan campuran yang seakan cuba menghalangnya daripada menyuarakan pandangan berhubung isu dihadapi oleh orang Melayu.
Bekas Perdana Menteri dua kali itu sekali lagi diambil keterangan pihak polis berhubung hantarannya di Facebook 27 Julai lalu dan mempertikaikan sikap kerajaan yang baginya mengamalkan dwistandard.
“Saya hairan, ada ‘double standard’, bila saya baca dalam surat khabar yang Zeti (Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz) buat laporan pada Peguam Negara berkenaan kesalahan tiga pegawai 1MDB, tak ada polis siasat, tiada apa pun.
“Bagi saya ambil keterangan ini ugutan yang menghalang saya bercakap berkenaan masalah dalam negara sedangkan saya bercakap mengikut fakta yang jelas dan tidak menyalahi undang-undang.
“Saya cakap mengikut Perlembagaan Negara yang mana kedudukan Malaysia sebagai Tanah Melayu, bila cakap Tanah Melayu mereka cakap saya rasis “ katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir memaklumkan kesediaannya untuk menjawab segala baki persoalan sekiranya dituduh di mahkamah atas kesalahan hantarannya di Facebook itu.
Katanya, beliau turut menyatakan negara sedang bergerak ke arah ‘police state’ selepas mendakwa kerajaan mengambil tindakan sesuka hati tanpa mengikut undang-undang.
“Kita dapati keadaan dalam negara pelik, seolah tidak lagi mengikut undang-undang, (tetapi) ikut suka hati.
“Polis boleh bertindak walaupun tiada kes. Bagi saya ini (kerajaan) diktator. Dia (Anwar Ibrahim) mempunyai sifat yang membuat keputusan sesuka hati,” katanya.
Untuk rekod, pada Jun lalu, Dr Mahathir juga diambil keterangan pihak polis bagi siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan ke atas Institusi Diraja dan Proklamasi Orang Melayu.