
Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Jauh berbeza sama sekali antara kes rasuah dihadapi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyifatkan tidak tepat untuk kerajaan campuran menyamakan kes pertuduhan rasuah Presiden UMNO yang sudah dibuktikan wujudnya prima facie dengan kes Muhyiddin yang lemah sehingga ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
“Sudah pasti Zahid Hamidi akan menggunakan segala ruang yang ada untuk melepaskan diri sendiri dan mengalih perhatian kepada musuh-musuh politiknya.
“Saya jangka akan ada pihak membandingkan pelepasan Zahid dengan pengguguran tuduhan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kita mesti sedar situasinya amat berbeza.
“Dalam kes Muhyiddin, pasukan pendakwa membantah permohonan untuk menggugurkan pertuduhan malahan sekarang sedang merayu keputusan mahkamah itu,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Wan Saiful merujuk pertuduhan kes Zahid yang sudah dibicarakan dan mahkamah mendapati wujudnya bukti yang jelas untuk anak murid Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membela dirinya.
“Tetapi dalam kes Zahid, pihak pendakwa memohon Zahid dilepaskan walaupun sebelum ini mahkamah telah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Zahid,” ujarnya lagi.
Menurut Wan Saiful, keputusan kes mahkamah melibatkan Zahid jelas menunjukkan prinsip ketelusan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan Anwar sudah musnah dan tidak mempunyai kredibiliti.
“Yang lebih penting ialah perkembangan ini adalah cerminan kredibiliti Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Dunia menyaksikan betapa kredibiliti Anwar sebagai seorang reformis telah hilang musnah.
“Sebab itulah kita mesti menerima hakikat karakter Anwar yang sebenar. Anwar adalah seorang Perdana Menteri yang gagal, dan dia mengetuai sebuah kabinet yang tidak kompeten.
“Maka itulah dia sanggup berbuat apa sahaja demi untuk kekal di takhta kuasa,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Zahid dilepaskan daripada kesemua 47 pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
“Mahkamah ini membuat keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan. Sebelum saya tangguhkan, saya ingin menyatakan di sini bahawa, apa sekalipun kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman dibuat, tidak boleh dipersoalkan.
“Andainya pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat bahawa mereka tidak akan meneruskan pendakwaan, bahawa banyak masa kehakiman yang barharga akan terbuang di samping membazirkan banyak wang pembayar cukai, dan dengan ini, mahkamah ditangguhkan,” katanya dipetik laporan media.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu boleh membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018. Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau yang juga Presiden UMNO, turut berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.