
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Keterangan Tan Sri Muhyiddin Yassin direkod Bukit Aman hari ini berhubung kenyataan semasa kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri itu yang menjadi sasaran pendakwaan bermotif politik dilaporkan media selesai memberi kepada polis pada jam 10.25 pagi di sebuah bangunan di Jalan Sentral hari ini, menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Pada masa ini tumpuan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, akan melengkapkan kertas siasatan berkenaan.
“Proses merakam keterangan berhubung ucapan beliau sudah selesai sepenuhnya dan polis akan melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya dipetik laporan BH.
Beliau berkata, keterangan berkenaan adalah bagi membantu siasatan berhubung ucapan beliau ketika berkempen PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, baru-baru ini.
Muhyiddin ketika ditanya berhubung proses keterangan hari ini hanya memberi isyarat bagus sebelum menaiki kenderaan dan beredar menuju ke Parlimen.
Terdahulu, Muhyiddin dilihat masuk ke bangunan terbabit pada jam 9.28 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Vellfire.
Sabtu lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada hari ini untuk diambil keterangan.
“Ada dua kertas siasatan dibuka terhadap Tan Sri Muhyiddin susulan kenyataan beliau berkaitan ‘fatwa’ dan kenyataannya berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa, jadi, kita akan panggil beliau untuk keterangan,” katanya.